Selesaikan segala perbalahan peringkat bahagian: Hishammuddin

0

KUANTAN: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu segala perbalahan yang wujud di peringkat bahagian diselesaikan segera kerana kegagalan berbuat demikian akan menghalang kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, kini bukan lagi masa untuk anggota parti bercakaran atau bertelagah sesama sendiri tetapi merapatkan lagi barisan sedia ada dan bekerjasama dengan anggota parti komponen BN yang lain.

“Suka atau tidak tapi inilah masanya kita rapatkan barisan kita, sekiranya kita tidak lakukannya sekarang akhirnya kita akan berhadapan dengan nasib seperti yang menimpa negara di Timur Tengah yang bertelagah yang berpunca daripada politik,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini, semalam.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sesiapa saja yang akan dicalonkan dalam pilihan raya nanti juga tidak patut dicemburui oleh mereka yang tidak terpilih, sebaliknya mereka harus memberikan sokongan penuh kepada calon tersebut demi masa depan parti dan negara.

Beliau turut mengingatkan anggota-anggota UMNOsupaya bersedia berdepan dengan pelbagai isu seperti serangan peribadi dan tohmahan yang akan dibangkitkan pembangkang dalam PRU13 kelak.

“Dekat PRU13 ini banyak isu yang akan dibangkitkan pembangkang seperti perkauman, agama serta serangan peribadi dan kita mesti bersedia menghadapinya.

“Budaya politik kebencian dan pecah belah yang cuba disuntik pembangkang kepada pemikiran orang ramai ini boleh menular sekiranya tidak dikawal dan budaya politik seperti ini kita mesti tolak kerana ia tidak membantu negara,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau berharap kertas cadangan yang dihantar kementeriannya untuk memperkasa pasukan keselamatan negara terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Belanjawan 2013 yang akan dibentang Jumaat ini mendapat pertimbangan sewajarnya.

“Saya teruja untuk mendengar pembentangan Bajet 2013 kerana kertas cadangan telah dihantar untuk penilaian dan saya harap kerajaan dapat beri pertimbangan mengenai penambahan anggota dan memperbaiki skim perjawatan dalam PDRM. — Bernama