SPNB komited bina 50,000 unit rumah mampu milik

0

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bercadang untuk bekerjasama dengan agensi pelaksana lain bagi menyediakan 50,000 unit rumah mampu milik dengan harga kurang dari RM300,000 di seluruh negara pada tahun hadapan.

Pengerusi SPNB Datuk Idris Haron berkata, perancangan itu selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk rakyat yang berpendapatan sederhana dan ke bawah.

Idris berkata SPNB mempunyai rangkaian kontraktor yang mampu melaksanakan projek pembangunan perumahan melalui tiga program iaitu Program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), Program Rumah Mampu Milik (RMM), dan pemulihan projek terbengkalai.

“Ini terbukti apabila SPNB menyerahkan 18,299 unit rumah di bawah program RMR1M dengan nilai keseluruhan RM1.2 bilion dan kini sebanyak 6,041 unit rumah lagi sedang dibina bagi mencapai sasaran 10,000 unit rumah bagi tahun ini.

“Bagi program RMM, sebanyak 15,029 unit rumah melibatkan 29 projek di seluruh negara di atas tanah berkeluasan hampir 800 ekar (320 hektar) bernilai RM196 juta telah disiapkan,” katanya dalam kenyataan  di sini, semalam.

Idris berkata, SPNB telah menyiapkan 25,283 unit rumah di seluruh negara di bawah 85 projek perumahan terbengkalai dengan kos pembangunan RM613 juta. — Bernama