Tuesday, December 10

Steparned juara larian merentas desa

0

BINTULU: Steparned Dennis dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun muncul juara bagi kategori lelaki dalam Larian Merentas Desa anjuran bersama SMK Sebauh dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Bintulu, pagi kelmarin.

Naib juara disandang Sada Usit dari SMK Tatau dan tempat ketiga pula dimenangi Brendan Louis Maria dari SMK Sebauh yang masing-masingnya menerima hadiah berupa piala.

Bagi kategori wanita pula, johan disandang Justera Serang dari SMK Bakun, tempat kedua Julie Ajut dari SMK Sebauh manakala tempat ketiga Patrycia Uring Udong dari SMK Bakun yang masing-masingnya  menerima hadiah juga berupa piala.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang diadakan di Dewan Serbagunan SMK Sebauh sejurus tamatnya acara larian berkenaan.

Larian tersebut melibatkan lima buah sekolah menengah di bahagian ini iaitu SMK Sebauh, SMK Bakun, SMK Tatau, SMK Bintulu dan SMK Assyakirin.

Kira-kira 50 orang peserta telah berentap dalam acara berkenaan yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir sekitar jam 10 pagi.

Timbalan Pengerusi PBSM Cabang Bintulu, Wong Haw Sing berkata program itu sememangnya memberikan manfaat besar buat golongan remaja ke arah membina kekuatan minda dan fizikal bagi mencapai tahap kesihatan mereka.

“Larian ini hanya melibatkan semua ahli PBSM bagi semua sekolah menengah di Bintulu iaitu pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 sahaja dan dibahagikan kepada dua kategori lelaki dan perempuan,’ katanya.

Hadir sama wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sebauh, Munong Ugak serta guru-guru pengiring sekolah-sekolah terbabit.