Tuesday, July 7

Promosi Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu dipergiat

0

BINTULU: Kementerian Pe-lancongan akan mempergiat-kan promosi untuk menarik lebih ramai penyertaan peserta antarabangsa pada Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu, sekali gus menjadikan festival itu sebagai acara bertaraf dunia.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, festival tahun ini menarik penyertaan seramai 94 peserta dari 20 buah negara yang dilihat bukan satu tugas mudah.

Bagaimanapun, beliau percaya lebih ramai peserta akan mengambil bahagian menerusi promosi secara besar-besaran.

“Maka melalui peruntukan khas, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan menye-diakan RM100,000 pada tahun hadapan untuk mempromosikan Bintulu dan festival itu.

“Kita akan membawa media-media dan televisyen an-tarabangsa untuk membantu usaha promosi ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu Kali Ke-8 di tapak Lapangan Terbang Lama di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, peruntukan RM100,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun itu bertujuan mempromosikan budaya tempatan dan apa jua program berkaitan dengan Bintulu.

“Tempoh tiga tahun akan datang, kita akan menyaksikan festival layang-layang ini menjadi acara yang berkelas dunia seperti juga Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (di Kuching),” katanya sambil menambah, promosi secara berterusan mampu menarik minat peserta luar negara, khasnya dari Eropah.

“Saya berharap mereka akan meletakkan acara di Bintulu ini sebagai salah satu acara dalam kalendar tahunan mereka, menetapkan bulan ini untuk datang ke Bintulu bagi menerbang layang-layang. Dengan cara ini, Bintulu akan dikenali di seluruh dunia.”

Menurut Abang Johari lagi, kerajaan juga akan mengkaji potensi kawasan pedalaman untuk pelancongan, misalnya Bakun yang terletak dua jam perjalanan dari Bintulu yang mempunyai beberapa zon untuk penganjuran sukan akuatik.

“Selepas acara layang-layang, peserta boleh menyertai sukan akuatik di situ de-ngan kemudahan disediakan antaranya memancing. Ia adalah sebahagian daripada usaha memperkembangkan industri pelancongan di sini,” katanya.

Selain menyediakan kemudahan industri kepada pelabur dan kemudahan rekreasi, katanya, kerajaan berhasrat untuk menjadikan Bakun sebagai tempat pelancongan sukan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Bintulu mempunyai masa depan yang cerah bukan sahaja dalam pembangunan industri-nya bahkan rekreasi yang menjana ekonomi yang pelbagai.

“Disebabkan itu, kita ingin menjadikan Bintulu (pusat) di kawasan Koridor Tenaga Di-perbaharui Sarawak (SCORE) yang mampu menjana eko-nomi bukan sahaja dalam bidang pembuatan, tetapi juga perkhidmatan yang akan menjadikan Bintulu sebagai ‘permata’,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip dalam ucapan alu-aluannya berkata, festival itu semakin popular dengan penyertaan besar dari pelbagai negara meskipun ia bermula dalam skala yang kecil.

Beliau berkata, kehadiran kira-kira 50,000 penduduk Bintulu menjadikan festival itu sebagai tempat yang baik untuk memupuk perpaduan penduduk.

“Semangat permainan layang-layang ini merupakan sebahagian daripada kehidupan di Bintulu.

“Festival ini dapat menghimpunkan penduduk dan menjadikan Bintulu sebagai tempat yang lebih baik, bukan sahaja sebagai tempat menjana ekonomi untuk industri,” ujar Talib.

Pelbagai acara sampinganturut diadakan antaranya persembahan menerbangkan layang-layang pada waktu malam, bengkel membuat layang-layang, pertandingan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak.

Turut diadakan pertandingan memasak masakan tradisional, pertandingan karaoke, persembahan kebudayaan dan artis-artis jemputan serta ekspo perniagaan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STB, Datuk Rashid Khan; Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Sri Celestine Ujang; Pengurus Besar BDA, Datu Mohidin Ishak dan Residen Bintulu, Muhamad Yakup Kari.