Miri sudah tidak sabar beraksi

0

Bertekad meraih tiga mata aksi pertama Piala Sarawak di laman sendiri

TAK SABAR: Sukran Jaraie (duduk empat kanan) dan Harifen (lima kiri) bersama-sama pasukan Miri bagi menghadapi saingan Piala Sarawak 2012 di Miri, Isnin ini.

Jurulatihnya, Sukran Jaraie berkata kesemua anak didiknya telah menunjukkan keserasian dalam beberapa siri latihan intensif mental dan fizikal yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

“Secara keseluruhannya, pemain kita sudah bersedia dan tidak sabar untuk memulakan perlawanan pertama menentang Sibu seterusnya bertekad meraih tiga mata pertama di halaman sendiri,” katanya kepada di sini semalam.

Sukran memberitahu, gabungan pemain senior dan muda dalam skuad Miri akan menjadi resipi terbaik dalam menghadapi saingan pasukan-pasukan terkuat dari bahagian lain.

“Kita mengharapkan agar pemain tidak gugup atau tertekan pada perlawanan pertama nanti, sebaliknya mereka fokus dan bermain dengan bersemangat tinggi seperti dalam latihan,” katanya.

Beliau tidak meletakkan pemain dalam satu posisi sahaja, sebaliknya pemain-pemain diberi peluang dan ruang untuk bermain di pelbagai posisi sekiranya kemahiran mereka diperlukan.

“Secara peribadi, skuad Miri sudah bersedia menghadapi kejohanan ini bahkan semua posisi seperti pertahanan, tengah dan serangan sudah diperkuatkan dengan semua pemain berpengalaman,” ujarnya.

Mengulas mengenai persiapan terakhir yang dilakukan skuad Miri semalam, Sukran memberitahu hanya satu latihan terakhir dalam menguji stamina pemain ketika bermain pada sebelah pagi.

“Kebiasaan pemain kita bermain pada sebelah petang dan malam, tetapi pagi ini (semalam) kita sengaja melakukan latihan pada sebelah pagi bagi menyesuaikan pemain-pemain supaya mereka bersedia bermain tidak mengira masa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, pemain-pemain juga didedahkan untuk membaca rentak dan corak pemainan pasukan lawan supaya mereka melakukan serangan lebih agresif di posisi tertentu.

Sementara itu, Syarikat Kingsar Sdn Bhd tampil menghulurkan tajaan berjumlah RM50,000 kepada skuad Miri sebagai tanda sokongan dan galakan kepada pasukan tuan rumah semalam.

Wakil Syarikat Kingsar Sdn Bhd, Celestine Atum berkata tajaan tersebut adalah sebagai tanggungjawab sosial syarikatnya dalam menyokong usaha pembangunan bola sepak tempatan.