PIlihan raya kampus UNIMAS kurang sambutan

1

PEMIMPIN PELAJAR: Dr Khairuddin (depan kanan) dan Fadzil (kiri) mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan MPP UNIMAS 2012 yang baharu dilantik semalam.

SAMARAHAN: Proses pilihan raya kampus bagi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kurang mendapat sambutan apabila hanya 43 peratus daripada keseluruhan pelajar keluar mengundi pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), 25 September lepas.

Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata perkembangan kurang memberangsangkan ini secara tidak langsung memberi cabaran kepada pihak universiti untuk menarik penyertaan pelajar dalam proses pemilihan MPP.

Justeru katanya, barisan MPP yang baharu dilantik dengan kerjasama pengurusan UNIMAS perlu memikirkan langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan peratusan pelajar keluar mengundi pada pilihan raya kampus akan datang dan seterusnya.

“Kita mungkin tidak boleh memaksa pelajar keluar mengundi, tetapi memandangkan soal kebajikan merupakan salah satu daripada aspek yang mendapat perhatian MPP, maka wajar jika pelajar yang tinggal dalam kampus diwajibkan dalam pilihan raya MPP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan barisan MPP UNIMAS bagi tahun 2012.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr Khairuddin turut menasihatI kalangan barisan MPP yang baHAru dilantik supaya tidak taksub dengan jawatan yang disandang dan menjadi contoh kepada pelajar yang meletakkan harapan besar kepada mereka.

Beliau yang gembira dengan kelancaran perjalanan pilihan raya 25 September lepas turut berharap agar kejayaan ini dikekalkan pada masa akan datang.

Sementara itu bekas Yang Dipertua MPP UNIMAS sesi 2010-2011 Muhammad Mus’ab Muzahar dalam ucapan penghargaannya tidak akan membayangi barisan kepimpinan MPP yang baharu dan membiarkan mereka bergerak sendiri.

Beliau turut mengingatkan barisan MPP yang baharu agar tidak mudah berputus asa dan melepaskan jawatan dengan mudah yang mana tindakan ini boleh menjejaskan reputasi MPP sendiri.

Dalam pada itu majlis angkat sumpah dan penyerahan watikah pelantikan semalam menyaksikan seramai 13 pelajar terpilih sebagai barisan MPP 2012 yang dipimpin oleh Muhammad Zul Syafiq Abdul Wahab daripada Fakulti Sains Sosial selaku Yang Dipertua.

Naib Yang Dipertua disandang oleh Hafizan Ahmad, Setiausaha Agung Farah Adibah Ramlee manakala Bendahari Kehormat merangkap Exco Kebajikan disandang oleh Lim Tien Ping.

Exco-exco lain termasuk Protokol, Perhubungan Awam dan Antarabangsa (Yusof Abdul Aziz), Pembangunan Sahsiah dan Modal Insan (Muhammad Norhelmi Ahmad), Sukan, Rekreasi dan Kesihatan (Abdussalam Khan Mustafa Khan), Akademik dan Pascasiswazah (Khairunnabihah Zainal Abidin), Keselamatan dan Kemudahan (Abdur Rahman Abdul Rahim), Kesenian dan Kebudayaan (Mohd Azrar Pawi), Keusahawanan, Inovasi dan Kerjaya (Awang Khairul Abid Awang Rohan), Publisiti, Infomasi dan Multimedia (Rudihartono Ngatmin) serta Pengangkutan dan Komunikasi (Carol Liew Tze Woon).

Turut hadir menyaksikan majlis angkat sumpah dan penyampaian watikah pelantikan ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman.