Sekolah ‘luar biasa’ dibela diperuntuk naik taraf kemudahan SK Nanga Merit: TPM

0

MODAL INSAN NEGARA: Muhyiddin (tiga kanan) begitu ceria melayan kerenah kanak-kanak prasekolah SK Nanga Merit pada Program Pemimpin Bersama Rakyat, semalam. Turut kelihatan Hasbi (kanan), Dr Abdul Rahman (tiga kanan) dan Abang Johari (empat kanan).

Lebih RM1 juta diperuntuk naik taraf kemudahan SK Nanga Merit: TPM

LIMBANG: Sekolah pedalaman Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Merit yang dibina 49 tahun lalu menerima berita gembira apabila kerajaan pusat mengumumkan peruntukan lebih RM1 juta untuk menyediakan kemudahan dan prasarana pendidikan yang lebih sempurna kepada 58 murid dan 12 gurunya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah yang sudah uzur itu mempunyai bangunan lama dan tidak selesa dan perlu diperbaiki untuk kemudahan murid dan warga sekolah.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM80,000 diagihkan untuk menyelenggara asrama, bilik mandi (RM80,000), pembinaan tiga blok dan enam unit kuarters guru (RM600,000) dan kemudahan enam bilik darjah gantian penuh (RM300,000).

“SK Nanga Merit amat luar biasa kerana hanya mempunyai 58 pelajar dan 12 guru, namun mempunyai masalah lain kerana kekurangan kemudahan selain bangunan yang lama dan tidak selesa,” katanya pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan tetamu kehormat lain.

Mengulas mengenai sekolah itu, Muhyiddin berkata, SK Nanga Merit cukup istimewa kerana hanya mempunyai antara tiga dan empat murid dalam sebuah bilik darjah.

“Saya sempat melihat bilik darjah, bilik mandi, tempat tidur, bilik makan dan prasekolah di (SK) Nanga Merit. Kalau di Kuala lumpur, satu bilik darjah 40 orang tetapi di sini hanya tiga hingga empat orang pelajar seperti kelas tuisyen.

“Oleh itu, ada keperluan untuk kita membaiki kemudahan termasuk asrama, kuarters guru, bilik darjah dan sebagainya,” jelasnya yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau menambah, kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Belanjawan 2013 telah menyenaraikan lebih 111 perkara utama yang menyentuh setiap lapisan rakyat Malaysia.

“Perkara utama dalam bajet ini akan dilaksanakan kerajaan pusat untuk menyelesaikan sebahagian besar masalah rakyat.

“Program yang dimulakan tahun ini diteruskan seperti BR1M, yang memberi faedah kepada 4.2 juta isi rumah seluruh negara,” katanya.

Di samping itu, kata Muhyiddin, terdapat golongan orang bujang yang tidak tersenarai pada tahun ini tetapi akan disenaraikan tahun depan menerusi pelaksanaan BR1M 2.0.

“Bukan itu satu-satunya program, tetapi kami ada turun padang dan berjumpa dengan masyarakat untuk menyelesaikan sebahagian masalah mereka,” jelas beliau.

Antaranya, menurut beliau, mengurangkan perbelanjaan ibu bapa yang ada anak-anak bersekolah melalui bantuan RM100 kepada pelajar.

Selain itu, Perdana Menteri, katanya, turut menyatakan komitmen kerajaan untuk meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan prauniversiti dengan nilainya ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 untuk manfaat seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

Program-program sedemikian, katanya, jelas membuktikan kerajaan pusat sentiasa berusaha untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Sambil menempelak belanjawan pembangkang yang disifatkan ‘tidak pandai matematik,’ Muhyiddin berkata, janji-janji pembangkang hanya akan meningkatkan defisit kewangan negara sekiranya dilaksanakan.

“Tetapi Perdana Menteri kita pandai, defisit boleh dikurangkan dan hasil negara boleh ditingkatkan, ini adalah pendekatan BN pusat atau negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.