Pasangan suami isteri rasa lega berjaya bergelar graduan

0

PASANGAN BERJAYA: Fauzi bersama isterinya, Suraya akhirnya berjaya bergelar graduan UNIMAS.

KOTA SAMARAHAN: Walaupun diduga dengan pelbagai cabaran sepanjang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), sepasang sua­mi isteri akhirnya bergelar graduan selepas berjaya me­namatkan pengajian mereka di situ. Pasangan itu, Fauzi Zainal Abidin dan isterinya Suraya Suyong, kedua-dua berusia 30 tahun dan turut mengam­bil kursus yang sama dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada Majlis Kon­vokesyen UNIMAS Ke-16 di sini semalam.

Menurut Fauzi, sepanjang pengajiannya bersama ister­inya di situ, pelbagai dugaan dan cabaran dihadapi mereka, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk menggapai kejayaan di pun­cak menara gading.

“Rintangan ada di sana sini… perjalanan kami tidak selurus seperti pelajar lain, bagi kami ia tidak semudah seperti apa yang dilalui oleh pelajar lain.

“Tetapi semua itu memberi kami semangat untuk lebih tabah dalam bersama-sama menamatkan pengajian kami di sini dan akhirnya kami ber­jaya melakukannya,” katanya ketika ditemui semalam.

Fauzi memberitahu bahawa dia dan isterinya mendirikan rumah tangga sewaktu men­untut pada tahun pertama di universiti itu setelah hampir lapan tahun berkenalan.

“Kami mendirikan rumah tangga pada tahun pertama belajar di sini dan kami pilih kursus yang sama sekali gus memudahkan kami belajar bersama,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Fauzi memberitahu bahawa perancangan mereka selepas menamatkan pengajian di situ adalah bekerja dahulu kerana mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

“Insya-Allah kalau ada rezeki kami akan sambung lagi pengajian kami ke tahap yang lebih tinggi,” katanya yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta berkaitan pengurusan data minyak dan gas.

Malah beliau turut me­luahkan rasa bangga kerana menjadi graduan kelahiran UNIMAS yang merupakan antara 200 universiti terbaik mengikut Standard Asian University Ranking 2012.

“Justeru, saya menyarankan pelajar-pelajar yang ada menerima tawaran belajar daripada UNIMAS jangan fi­kir dua tiga kali ambil sahaja,” ujarnya.