Wednesday, May 22

Program ‘Power – Mengurus Wang Ringgit Anda’ boleh diikuti secara atas talian

0

KUCHING: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kini memberi pilihan kepada rakyat negara ini yang tidak dapat menghadiri program ‘Power – Mengurus Wang Ringgit Anda’ anjuran agensi itu agar melakukannya secara atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AKPK Koid Swee Lian berkata pilihan itu adalah untuk mereka yang sibuk dengan urusan harian sehingga tidak mempunyai masa untuk menghadiri sesi taklimat ‘Power’ selama empat jam diadakan di pejabat AKPK di seluruh negara.

“Pelanggan hanya perlu melayari laman sesawang power.akpk.org.my.  Kursus ‘Power’ secara atas talian sesuai kepada mereka yang sibuk, tinggal jauh dari pejabat-pejabat AKPK dan mahu menjimatkan masa kerana secara atas talian mereka hanya perlu meluangkan masa selama dua jam sehingga sesi selesai.

“Selepas selesai sesi kursus atas talian, pelanggan kami boleh mencetak sijil penyertaan untuk simpanan mereka dan sijil itu adalah serupa dengan yang diberikan kepada pelanggan yang menghadiri taklimat ‘Power’ di pejabat-pejabat AKPK di seluruh negara,” jelasnya pada sidang media di pejabat AKPK Negeri, di bangunan Bank Negara Cawangan Sarawak di sini semalam.

Beliau berkata peserta kursus ‘Power’ AKPK harus menyimpan sijil penyertaan masing-masing untuk digunakan pada masa akan datang sekiranya mahu membuat pinjaman peribadi atau pinjaman sewa beli kerana ia antara syarat ditetapkan Bank Negara bagi tujuan itu.

Sementara itu Ketua Kaunselor Kredit AKPK Wilayah Sarawak Marlene Nichol berkata setiap Rabu dan Jumaat, taklimat umum mengenai peranan dan perkhidmatan ditawarkan agensi itu diadakan di pejabat agensi itu di Tingkat 1, Bangunan Bank Negara Malaysia di Jalan Satok dekat sini.

Bagi taklimat pada Rabu ia akan diadakan pada jam 2.30 petang manakala untuk hari Jumaat sesi taklimat akan bermula jam 10 pagi dan dibuka kepada orang ramai, jelasnya.

“Bagi program ‘Power’ ia akan diadakan setiap Rabu dari jam 9 pagi hingga 1 petang dan peserta perlu mendaftar terlebih dahulu untuk menyertai program ini. Peserta akan diberikan sijil penyertaan selepas program itu.

“Selain itu di AKPK Kuching, Program Pengurusan Kredit (DPM) pula diadakan pada Isnin, Selasa dan Khamis.

“Peserta DPM perlu mendaftar atau membuat temu janji dengan menghubungi 082-414910,” katanya.