JKM Limbang buat persiapan hadapi kemungkinan banjir

0

LIMBANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang  sudah membuat persiapan menghadapi kemungkinan banjir berikutan musim tengkujuh yang dijangka berlaku penghujung Oktober ini dan awal November depan.

Penolong Pengarah JKM Bahagian Limbang, Aziah Saruji berkata persiapan itu termasuk mewujudkan pusat pemindahan dan menyedia-kan bekalan makanan yang mencukupi untuk keperluan mangsa banjir.

“Setakat ini kita sedang mengemas kini beberapa pusat pemindahan banjir melibatkan daerah Limbang dan Lawas untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit, sekolah, dewan dan beberapa lokasi lain di kawasan Medamit serta daerah Lawas.

“Selain pusat pemindahan banjir, setakat ini kita juga mempunyai tiga pusat pangkalan hadapan yang beroperasi sebagai simpa-nan makanan di kawasan Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit, stor perpustakaan Trusan dan Merapok di Lawas.

“Jumlah ini dijangka akan bertambah kerana ia bergantung kepada keadaan ben-cana dan kelulusan daripada Jawatankuasa Bencana Bahagian Limbang,” katanya.

Beliau berkata berdasar-kan pengalaman lalu terdapat beberapa kawasan yang berisiko tinggi dinaiki air di daerah ini melibatkan kawa-san Medamit, Bukit Luba dan kawasan sekitarnya.

Aziah turut menggalak-kan kerjasama kukuh di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, badan sukarela, kelab dan pihak swasta untuk bersama-sama membantu dalam operasi menyelamat semasa berlakunya bencana termasuk banjir.

“Kita sudah menghubungi NGO, persatuan dan Ikatan Relawan Malaysia (RELA) untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir dan bencana alam yang lain.

“Tetapi, kita juga mengharapkan kerjasama dan penglibatan aktif badan sukarelawan untuk membantu ketika operasi menyelamat dan pengagihan bantuan bekalan makanan kepada mangsa bencana,” katanya.