Kecurian besi penutup jalan serius

1

SIAPA PUNYA ANGKARA?: Tiong (kiri) berkata sesuatu kepada Hii (dua kanan) semasa mendapati sebuah besi penutup jalan hilang di Sibu, semalam.

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM300,000 akibat kegiatan mereka yang tidak bertanggungjawab yang mencuri besi penutup jalan di kawasan naungannya pada tahun lepas hingga September tahun ini.

Pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata, pada tahun lepas sebanyak 1,133 keping besi (penutup jalan) didapati dicuri serta hilang dan melibatkan kos sebanyak RM186,162.05 untuk menggantikannya.

“Bagaimanapun, tahun ini sehingga September sahaja ia sudah mula menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 1,298 keping besi penutup jalan didapati hilang dan MPS turut mengalami kerugian sebanyak RM159,665 untuk menggantinya.

“Tetapi kali ini, MPS mengambil alternatif lain untuk menggantikannya dengan penutup konkrit bagi mengelakkannya dicuri lagi sekali gus menjimatkan kos,” ujarnya kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan projek baik pulih beberapa batang jalan di sini, semalam.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng, Setia-usaha MPS Hii Chang Kee, Kaunselor Robert Lau Hui Yew serta yang lain.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lanang turut melahirkan kebimba-ngan terhadap gejala terbabit dan berharap alternatif yang diambil oleh MPS itu dapat menangani masalah kehila-ngan besi penutup jalan.

Semasa tinjauan itu juga, Tiong sendiri mendapati besi penutup jalan turut hilang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang yang terletak di Jalan Lada di sini.

“Keadaan ini sungguh mengecewakan dan membuatkan MPS akan terus mengalami kerugian dise-babkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Tiong memberitahu bahawa naik taraf serta baik pulih jalan raya sepanjang 570 meter di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce telah siap dan ia me-nelan perbelanjaan sebanyak RM449,549.43.

Dua lagi projek penambahbaikan jalan iaitu di Jalan Lada dan Lorong Then Kung Suk 4, jelasnya, juga telah siap dan masing-masing kosnya sebanyak RM393,305.61 dan RM500,000.

“Projek penambahbaikan jalan di dua lagi tempat iaitu di Lorong Bukit Lima Timur 2E/2 dan pembinaan tempat letak kereta di pekarangan Taman Rimba Bukit Lima di sini masih dijalankan dan kedua-dua projek itu berjumlah RM230,000,” ujarnya lagi.