Perlu kemudahan canggih kaji ZEE

0

KUCHING: Sarawak akan mengemukakan cadangan untuk memohon menggantikan vesel penyelidik serta logistik lain yang lebih canggih untuk meneroka dan mengkaji kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, cadangan peruntukan yang akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan itu di-usulkan bagi menjalankan kajian di kawasan ZEE Sarawak kerana ia mempunyai potensi yang besar kepada nelayan di negeri ini.

“Kita mendapati potensi perikanan laut dalam perairan ZEE Sarawak, yang dianggarkan berkeluasan 160,000 kilometer persegi untuk di-teroka.

“Bagaimanapun kita masih belum ada vesel penyelidikan sesuai dan teknologi canggih untuk mengetahui sumber yang kita ada terutama per-ikanan laut dalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Hasil Penyelidikan dan Pembangunan Perikanan Laut Dalam Perairan Sabah/Sarawak di sini, semalam.

Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian berkata, beliau telah berbincang dengan ketua pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dalam usaha mendapatkan sokongan logistik itu kepada Sarawak.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu akan dikemukakan selepas menerima rumusan atau hasil daripada simposium yang diadakan bagi menyokong permohonan.

“Saya berharap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan dan meluluskan cadangan penggantian vesel penyelidikan ini demi masa depan nelayan-nelayan di negeri ini,” katanya.

Malah menurutnya hasil kajian Jabatan Perikanan Malaysia dan Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) 2005 dan 2010 mendapati Sarawak mempunyai potensi yang amat tinggi bagi sumber ikan laut dalam.

Ditanya mengenai lambakan nelayan asing di perairan negara ini termasuk di Sarawak, Jabu menjelaskan dengan penguatkuasaan yang diperke-tatkan kini oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM, ia mampu mengawal situasi sedemikian.

“Dengan kemudahan yang canggih oleh APMM termasuk pesawat yang boleh mendarat di laut, insiden pencerobohan nelayan asing ini akan berkurangan,” katanya sambil menjelaskan terdapat empat pangkalan Maritim iaitu di Kuching, Tanjung Manis, Bintulu dan Miri.