RM41,200 lesap angkara syarikat jongkong emas

1

SIBU: Seorang lelaki warga emas di sini hilang wang pelaburannya sebanyak RM41,200 selepas menjadi mangsa aktiviti haram syarikat jongkong emas Genneva Malaysia Sdn Bhd yang telah dikenal pasti tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Wong, 76, mula membuat pelaburan dengan membeli dua plat emas seberat 200gram (100 gram setiap satu) bernilai RM38,600 melalui seorang ejen di sini pada 17 Mei lalu.

Emas tersebut dibelinya secara kontrak (tiga bulan) yang  tamat tempoh pada 17 Ogos lalu dengan kadar faedah hibah sebanyak 2 peratus sebulan.

Menurut pengadu, adalah dipersetujui bahawa plat emas boleh dipulangkan dan harga belian akan dikembalikan apabila sampai tarikh tamat tempoh tersebut.

Wong berkata dia telah membuat pembayaran tambahan sebanyak RM2,600 kepada ejennya untuk melanjutkan tempoh pembelian berkenaan daripada Genneva Malaysia Sdn Bhd sehingga enam bulan iaitu dari 23 Ogos 2012  hingga 22 Februari 2013 pada kadar faedah yang sama.

Selepas perjanjian jual beli itu disetem pada 10 September, Wong telah memulangkan dua plat emas berkenaan kepada Genneva melalui ejen berkenaan pada 22 Ogos untuk urusan pembaharuan jual beli seperti yang dikehendaki.

Kata Wong, ejennya telah bersetuju untuk memberi resit untuk melanjutkan tempoh perjanjian jual beli tersebut sehingga enam bulan dan diberitahu proses tersebut hanya mengambil tempoh selama dua hingga tiga minggu sahaja.

Namun sehingga kini ia telah melebih dua bulan tetapi belum lagi menerima kembali plat emas dan rebatnya.

Bimbang beliau tertipu, Wong membuat laporan polis  pada jam 11.30 pagi semalam.