Kegiatan judi haram di Sabah terkawal, polis terus tingkat serbuan: Omar

0

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas 2,041 mesin berunsur perjudian dalam 749 serbuan yang dilakukan tehadap premis judi siber di seluruh negeri setakat September lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah berkata berdasarkan statistik, berlaku peningkatan sebanyak 140 peratus kadar serbuan setakat Januari hingga September lalu berbanding 314 serbuan pada tahun 2011.

“Setakat September lepas, pihak Jabatan Siasatan Jenayah di kontijen seluruh negeri telah melakukan 749 serbuan terhadap premis judi siber yang mana menyaksikan terdapat peningkatan 140 peratus berbanding tahun 2011.

“Manakala untuk rampasan mesin judi pula adalah 2,041 berbanding 1,348 pada tahun lepas dalam tempoh yang sama dan menunjukkan peningkatan sebanyak 40 peratus,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM118,390 hasil daripada serbuan terhadap kegiatan itu sepanjang tempoh berkenaan.

Omar menjelaskan peningkatan itu dicatatkan berdasarkan serbuan dan operasi yang giat dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di setiap daerah bagi memerangi kegiatan judi siber di negeri ini.

“Sebenarnya, kegiatan ini adalah terkawal. Hanya terdapat peningkatan terhadap serbuan-serbuan serta tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap premis-premis judi haram terbabit.

“Malah serbuan terbabit dilaksanakan atas maklumat awam dan kita difahamkan turut menerima aduan daripada golongan isteri yang mengadu suami mereka tidak balik ke rumah kerana leka bermain judi haram.

“Sehubungan itu, polis menegah orang ramai agar tidak mengunjungi premis-premis perjudian haram kerana kita akan ambil tindakan walaupun sekadar berkeliaran di situ sahaja,” katanya.

Menurut beliau, daerah Penampang mencatatkan kes tertinggi dengan 94 serbuan diikuti Kota Kinabalu (86), Tawau (63), Sandakan (63), Lahad Datu (56), Kota Belud (56) dan Wilayah Persekutuan Labuan (39).

Sementara itu, untuk kegiatan judi termasuk loteri dan nombor ekor haram pula terdapat 395 serbuan pada tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding 227 kes tahun lepas.

“Kegiatan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 32 peratus selain rampasan wang tunai sejumlah RM25,848.

“Manakala bagi kegiatan perjudian lain-lain seperti permainan ketam-ketam pula menyaksikan 834 serbuan pada tahun ini berbanding 554 pada tahun lepas dengan wang tunai dirampas adalah RM25,063,” katanya sambil menambah, jumlah keseluruhan tangkapan individu terlibat masih di dalam siasatan.

Omar berkata, kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 9 (1), Seksyen 7 (2) dan Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 1,883 serbuan telah dilakukan bagi mengesan kegiatan pelacuran di negeri ini sepanjang tahun ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu seramai 415 individu telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Daripada 415 tangkapan itu, 79 daripadanya adalah warga asing yang difahamkan berasal dari negara Filipina, China, Indonesia dan Vietnam.

“Tangkapan itu termasuklah pelacur dan dalang kepada aktiviti terbabit,” katanya dan menambah, kesemua tangkapan itu disiasat mengikut Seksyen 372 A dan 372 B Kanun Keseksaan.