Penduduk Kampung Sageng diancam hakisan tebing sungai

0

SIMUNJAN: Penduduk di Kampung Sageng kini berdepan ancaman hakisan tebing sungai akibat arus deras Batang Sadong.

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri ketika mengadakan lawatan ke kawasan tebing sungai yang runtuh di situ kelmarin menyeru agar pihak berkuasa berkaitan segera menangani masalah tersebut.

Beliau memberitahu, rumah yang didiami penduduk berhampiran di tebing sungai itu berada dalam keadaan berisiko untuk runtuh sekiranya langkah mengatasi masalah tersebut tidak ditangani dengan segera.

“Malah, terdapat satu jalan raya di tebing sungai itu yang merupakan perhubungan penduduk

kampung berkenaan ke pekan Simunjan yang sedang dalam proses untuk dinaik taraf tetapi jalan tersebut telah pecah dan susur masuk ke dalam sungai akibat arus deras sejak tiga hari lalu,” jelasnya.

Nancy berkata walaupun kerja-kerja tebatan untuk mengelakkan tebing daripada susur

telah dijalankan, namun ia tidak mampu menghalang tebing sungai itu terus terhakis.

“Kini jalan tersebut telah runtuh serta dipenuhi lumpur dan mustahil untuk dilalui kenderaan.

“Pihak kontraktor yang bertanggungjawab menjalankan naik taraf jalan tersebut telah

mengambil langkah untuk meletakkan beg pasir dan kayu

cerucuk serta batu-batu besar bagi mengelakkan tebing tersebut

terus susur namun ia sia-sia sahaja,” katanya.

Pada masa yang sama beliau memberitahu ada segelintir penduduk tinggal berhampiran tebing sungai itu sudah berpindah ke tempat yang lebih selamat.

“Malah, perkara ini amat membimbangkan penduduk kampung tersebut memandangkan keselamatan

mereka terancam selain berhadapan kehilangan tempat tinggal.

“Justeru, mereka merayu kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar mencari jalan penyelesaian bagi masalah tersebut secepat mungkin,” tambahnya.

Selain itu, Nancy turut memaklumkan masalah itu kepada Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkaitan mengenainya.

“Saya akan cuba berbincang dengan Yang Berhormat Dato Sri Douglas Uggah (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) mengenai masalah tersebut,” ujarnya.