Saturday, April 20

Penyelidikan dan kajian dijalankan untuk mendokumentasi sejarah Bintulu

0

BINTULU: Penyelidikan dan kajian akan dijalankan bagi mendokumentasi sejarah Bintulu supaya terpelihara sekali gus dapat menjadi tatapan generasi baharu.

Berikutan itu sebuah Badan Protem Penyelidikan Sejarah Bintulu telah dibentuk dengan diketuai oleh Junaidi Bujang yang bertindak sebagai pengerusinya.

“Melalui badan ini kami akan membuat penyelidikan merangkumi beberapa lapisan zaman supaya generasi baharu mengetahui sejarah Bintulu sekali gus akan merapatkan ukhuwah antara orang lama dengan generasi baharu,” katanya di sini.

Menurutnya, keutamaan penting adalah untuk mensahihkan sejarah serta asal usul Bintulu khasnya keturunan Bintulu yang berasal dari Brunei.

Beliau berkata badan protem itu juga akan membawa masuk seorang pengkaji, ilmuwan sejarah, Jabatan Muzium untuk membantu dan bergabung bagi mengumpul cerita-cerita lama tentang Bintulu sebagai contohnya nama Sebiew pada asalnya adalah ‘Sebezau’ dan Bintulu kemungkinan berasal dari nama ‘Metuq Ulau’ (kutip kepala) termasuk nama tempat Bukit Orang adalah dari dialek vaie ‘Metied Durang’ yang mana akan kami kaji lebih lanjut.

“Susulan itu perjumpaan semula kami ini adalah hasil daripada perbincangan dalam laman sosial ‘facebook’ sejarah Bintulu yang berhasrat membentuk sebuah pasukan penyelidikan yang mengesah dan memantau perkembangan bahan-bahan artifak serta membongkar identiti sebenar Bintulu,” jelasnya.

Beliau berkata, selalu orang menyebut Bintulu sebagai perkampungan nelayan namun Bintulu lebih daripada itu.

“Ini disebabkan Bintulu pernah menjadi lokasi persidangan Dewan Undangan Negeri yang pertama pada tahun 1867, satu ketika dahulu terdapat sebuah bangunan di tempat persidangan itu tetapi telah digantikan dengan pembangunan lain namun yang masih tinggal adalah sebuah monumen dan mercu tanda menandakan lokasi persidangan itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan menjadikan badan protem itu lebih berkesan dengan mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa kecil untuk membantu dalam bahagian penyelidikan dan kami berharap mendapat sokongan semua.

Menurutnya, kemuncak daripada penyelidikan itu kelak adalah menerbitkan sebuah buku berkenaan sejarah Bintulu yang mana akan dijadikan sebagai khazanah untuk tatapan generasi akan datang.

“Sekarang ini golongan veteran atau orang lama di sini sedang mengenal pasti tokoh-tokoh terkenal di Bintulu antaranya mengenai siapa pembunuh sebenar lanun semasa serangan lanun di Bintulu pada 1861 sekitar 100 tahun lalu serta mengenai kekayaan hasil Bintulu yang sebelumnya hanya merupakan perkampungan nelayan,” katanya sambil menambah usaha penyelidikan itu akan dijalankan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya telah mengumpul bahan-bahan sejarah sebelum mendokumentasinya mengenai perkaitan Bintulu dengan Brunei serta sejarah Sarawak itu sendiri.

“Kajian ini sememangnya memakan masa namun kami telah mengumpul bahan hampir setahun lalu termasuk mengenai kedatangan awal masyarakat Cina ke Bintulu dan kami telah pun bergerak dalam projek ini cuma kami belum ada badan lain sebagai pemantau,” katanya.

Mengenai cadangan pembinaan Muzium di Bukit Jepak di sini katanya, kalau boleh seratus peratus bahan sejarah Bintulu kelak akan diletakkan dalam muzim itu, namun kami menyokong penuh pembinaan muzium itu.

“Ini merupakan tanggungjawab kami membantu kerajaan membongkar sejarah Bintulu serta menyebarkan maklumat kepada generasi yang tidak tahu,” katanya sambil menambah keprihatinan terhadap sejarah Bintulu ini sebenarnya bermula dari minat sebab itu wujud kelab pencinta sejarah Bintulu oleh generasi baharu.

Selain itu katanya, kami ingin memastikan khazanah warisan sejarah Bintulu tidak hilang begitu sahaja.

Katanya, langkah ini diharap akan berjaya dan akan menjadi ikutan oleh penduduk-penduduk lain dari 27 etnik di negeri ini yang boleh melakukan perkara yang sama.

Bagaimanapun katanya, kami merayu orang-orang Bintulu yang tinggal di luar negara untuk memberikan maklum balas mengenai idea yang kami cetuskan ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Protem Penyelidikan Sejarah Bintulu, Datuk Zenorai Rambli dan ahli jawatankuasa lainnya terdiri daripada Mohammad Bakeri, Mohd Zaifulfadillah Junaidi, Yusuf Ahmad, Kiprawi Aman, Fauzi Narawai, Bujang Dollah dan Kairulnieza Waynie.