Tabika Perpaduan yakin dapat capai sasaran 3M

0

TAHNIAH: Pau (tengah) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan kanak-kanak pada Konvokesyen Tabika Perpaduan di Bintulu, semalam.

Capai sasaran 100 peratus kanak-kanak kuasai kemahiran membaca dan menulis dan mengira tahun depan

BINTULU: Tabika Perpaduan di bawah kendalian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sarawak berkeyakinan dapat mencapai sasaran 100 peratus kanak-kanak menguasai tiga kemahiran asas yang utama iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) pada tahun depan, kata Pengarahnya Dirwana Azool.

Katanya penguasaan ketiga-tiga kemahiran itu akan memudahkan kanak-kanak menguasai ilmu akademik yang lebih khusus dan sukar di alam pendidikan formal iaitu di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Dalam kenaziran yang dilakukan ke atas semua Tabika Perpaduan di seluruh negeri, pihak JPNIN berjaya mencapai sasaran ditetapkan dengan 90 peratus kanak-kanak berjaya menguasai kemahiran 3M.

“Justeru, tahun depan kita menyasarkan 100 peratus mampu menguasainya dengan baik,” katanya pada Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu 2012 di Dewan Suarah Bintulu di sini semalam.

Sambil menyifatkan kejayaan itu merupakan kejayaan besar bagi kanak-kanak, ibu bapa dan guru, Dirwana berharap pembimbing yang ditugaskan bagi mengendalikan kelas-kelas tabika lebih komited serta bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran itu.

Katanya semua Tabika Perpaduan di negeri ini mempunyai alat bantuan mengajar dan bahan pembelajaran yang serba lengkap setaraf dengan tabika lain.

“Semuanya adalah terpulang kepada keazaman serta daya kreativiti seseorang guru bagi menyampaikan ilmu akademik yang telah ditetapkan kerana guru memainkan peranan penting bagi menarik minat kanak-kanak,” ujarnya

Seramai 264 kanak-kanak daripada empat Tabika Perpaduan di sini iaitu Tabika Perpaduan Kampung Assyakirin, Tabika Perpaduan Sungai Plan, Tabika Perpaduan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Bintulu dan Tabika Perpaduan Tanjung Kidurong telah menerima sijil masing-masing pada konvokesyen itu.

“Apa yang menjadi matlamat utama penubuhan tabika perpaduan telah menunjukkan hasilnya sebagaimana yang dilihat pada masa sekarang kanak-kanak pelbagai kaum dapat belajar bersama-sama,” katanya.

Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung dan Pengerusi JPNIN Bahagian Bintulu Asnida Jasib antara yang hadir.