Melaka laksana semula program lembu pawah

0

MELAKA: Kerajaan Melaka memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan semula program penternakan lembu secara pawah bermula Januari depan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata langkah itu susulan kegagalan program ternakan lembu secara fidlot yang dijalankan di Pulau Besar, Semujuk dan Alor Gajah.

Pelaksanaan semula sistem pawah itu bagi mengatasi masalah kekurang lembu di negeri ini sehingga terpaksa mengimport dari Thailand terutama untuk tujuan korban ketika sambutan Aidiladha, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Mohd Ali berkata menerusi program itu, kerajaan negeri akan membeli lembu induk yang diserah kepada penternak dan anak lembu yang lahir akan dibahagi sama rata antara kerajaan negeri dan penternak, sekali gus menguntungkan kedua-dua pihak.

Katanya program itu akan diurus anak syarikat kerajaan negeri iaitu Yayasan Melaka dengan kerjasama Jabatan Pertanian negeri.

Program pawah ini mengamalkan konsep ternak dan lepas yang mampu meminimumkan kos penternakan, berbanding secara fidlot yang memerlukan belanja tinggi bagi menyediakan kandang, makanan serta ubat-ubatan, katanya.

Mohd Ali sebelum itu hadir program korban kelompok membabitkan 19 ekor lembu di Masjid Al-Azim di sini yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob. — Bernama