11 sukan dikenal pasti dalam program ‘Road To Rio 2016’

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti sebanyak 11 jenis sukan untuk disenarai di bawah program pembangunan Olimpik ‘Road To Rio 2016’, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada masa sama, pihaknya juga akan memberi pertimbangan serius terhadap cadangan supaya tiga lagi acara sukan dimasukkan dalam program pembangunan Olimpik itu.

“Secara umum 11 jenis sukan tetapi tidak khusus lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.

Difahamkan 11 jenis sukan itu ialah acara yang pernah menyaksikan penyertaan atlet negara pada temasya Olimpik lalu iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

Program ‘Road to Rio 2016’ adalah kesinambungan daripada program ‘Road To London 2012’ yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.

Ahmad Shabery berkata tiga jenis sukan yang dicadangkan untuk disenarai dalam program ‘Road To Rio 2016’ ialah golf, ekuestrian dan tinju.

Beliau berkata pelbagai aspek akan diambil kira sebelum menyenaraikan tiga jenis sukan berkenaan, antaranya dari segi kos membiayai sukan itu serta sama ada berpotensi untuk bersaing di peringkat Olimpik.

Dalam pada itu, katanya, sebuah jawatankuasa kecil akan dibentuk untuk mengenal pasti atlet yang layak disenarai dalam program itu yang bukan hanya bagi tempoh empat tahun sebaliknya menjangkau sehingga lapan tahun.

“Sebab itu kita masukkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran dalam jawatankuasa itu (Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016).

“Ertinya kami perlu memikirkan untuk tempoh lapan tahun.  Hubungan kami bukan sahaja dengan MSN tetapi dengan sekolah sukan di negeri-negeri untuk melahirkan bakal atlet bersaing di Olimpik.

“Kita perlu pendekatan menyeluruh.  Sekolah-sekolah sukan ini akan menjadi kilang awal dalam melahirkan bakal atlet Olimpik dan kita akan melihat keperluan dan kemudahan yang ada di sekolah-sekolah itu,” katanya.

Ahmad Shabery berkata setakat ini, pihaknya tidak menetapkan sasaran pingat pada Olimpik 2016, sebaliknya sedang meneliti pendekatan yang boleh menghasilkan pingat emas pertama negara, jumlah pingat yang boleh dimenangi serta bilangan atlet kebangsaan yang layak secara merit bersaing pada temasya itu.

Beliau berkata kementerian juga mengalu-alukan peruntukan khas sejumlah RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini untuk persiapan program ‘Road To Rio’ menjelang Sukan Olimpik di Rio de Janiero, Brazil pada 2016.

Peruntukan itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.

Di bawah program ‘Road To London’, sejumlah RM20 juta diperuntukan dan Malaysia hanya memperolehi satu pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat gangsa melalui Pandelela Rinong Pamg menerusi acara terjun 10m platform. — Bernama