Isu pingat bukan salah PBTM Sibu

1

SIBU: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sibu tidak patut dipersalahkan dalam isu pemberian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada bekas-bekas tentera.

Ketua Cawangan PBTM Sibu, Thomas Ling Kui Eng berkata persatuan itu hanya membantu dalam menyokong dan menghantar borang pencalonan bekas-bekas tentera yang layak bagi mendapatkan pingat terbabit.

“Persatuan tidak mempunyai kuasa untuk memberi pingat kepada bekas-bekas tentera,” katanya ketika diminta meng-ulas berhubung kenyataan seorang bekas tentera, James Suntai Tuba yang disiarkan dalam akhbar ini semalam.

Menurut Ling, apa yang berlaku dalam kes James itu mungkin disebabkan kesilapan kerani persatuan dan kesilapan itu telah dimaklumkan kepada Bahagian Pingat Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP) untuk diperbetulkan.

Oleh itu katanya, James merupakan penerima sebenar pingat terbabit walaupun beliau masih belum menerimanya memandangkan semua rekod dengan JRP adalah menggunakan maklumat milik beliau (James).

“Ini bukan satu masalah yang besar dan beliau seharusnya bertanya atau berbincang dengan persatuan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” jelas Ling.

Dalam kenyataan akhbar kelmarin, James mendakwa kesilapan kerani PBTM Sibu telah menyebabkan beliau tercicir menerima pingat PJM.

James berasal dari Rumah Ranggau, Sungai Assan mendakwa seorang ahli PBTM telah menggunakan nombor kad pengenalannya termasuk nombor tentera dan nombor ahli sehingga menyebabkan beliau tercicir menerima PJM tahun lalu.

Ling yang juga presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) memberitahu bahawa James seharusnya bersabar kerana masih ramai bekas-bekas tentera yang telah memohon belum mendapat pingat terbabit.

“Jangan terlalu emosi serta menyalahkan persatuan dalam hal ini, kerana perkara seperti ini hanya memburukkan nama persatuan,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Negeri Sarawak itu juga memberitahu, keutamaan pemberian pingat PJM adalah kepada bekas-bekas tentera yang aktif dalam persatuan.

Sebelum ini katanya, pingat PJM hanya diberikan kepada ahli-ahli PVTMS dan PBTLDM Sarawak.

Beliau juga menyarankan kepada James agar menghubungi JRP di Kuala Lumpur melalui talian 03-20508011 atau Jabatan Hal Ehwal Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sarawak (082-230359) untuk mengetahui hal yang sebenar.