Juruteknik minyak maut dalam nahas

6

KELIHATAN mayat mangsa terbaring setelah pelanggaran terbabit berhampiran simpang masuk ke UITM Sepanggar kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang juruteknik syarikat minyak terbunuh setelah motosikal yang ditunggangnya terbabit nahas jalan raya dengan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo berhampiran simpang masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sepanggar, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Zulkifli Maarof, 47, dari Taman Malawa Jaya Fasa 1 itu meninggal dunia serta merta di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan dan kepala dalam insiden sekitar jam 12.15 tengah hari kelmarin.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dan pemandu Vigo yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun itu sedang menuju ke kawasan Sepanggar dari arah pusat bandar.

Dengan tidak semena-mena, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan bergesel dengan pacuan empat roda itu dan menyebabkannya hilang kawalan sebelum tercampak ke atas jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes itu masih dalam siasatan.

Menurut beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mereka sedang dalam perjalanan menuju ke Sepanggar dari arah Kota Kinabalu.

“Ketika tiba di persimpangan masuk UiTM terbabit, motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan Toyota Vigo berkenaan dan menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas di atas jalan raya.

“Kita meminta kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian ini untuk tampil ke balai polis terdekat bagi menghulurkan maklumat siasatan kes,” katanya.

Chandra menambah, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.