Kebanyakan penerima PBR lebih gemar ATM bina rumah mereka

0

JASAMU DIKENANG: Zahid (kanan) melekatkan PJM kepada salah seorang veteran ATM pada Majlis Penutupan Kempen Rayuan Hari Pahlawan di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Kebanyakan penerima Program Bantuan Rumah (PBR) lebih gemar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rumah mereka menerusi Projek Jiwa Murni, kata Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ini kerana jelasnya, ATM tidak mengambil apa-apa keuntungan atau kepentingan dalam soal tersebut kerana ia adalah di bawah seruan kerajaan.

“Kami hanya mengenakan caj kepada kerajaan berdasarkan bahan-bahan binaan yang digunakan,” ujarnya kepada pemberita semasa ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Kempen Rayuan Hari Pahlawan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Veteran Tentera Malaysia Sarawak (PVTMS) dan Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia Negeri Sarawak.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 bekas veteran tentera yang terpilih di negeri ini.

Kira-kira RM250,000 telah berjaya dikumpulkan untuk tabung Kempen Rayuan Hari Pahlawan itu pada malam tersebut.

Menurutnya, ATM kini telah bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi Projek Jiwa Murni di negara ini pada masa akan datang.

“Kami bukan sahaja menggunakan khidmat Rejimen Diraja Kor Kejuruteraan tetapi juga perkhidmatan lain dalam membantu kami bukan sahaja untuk membina jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Zahid menjelaskan bahawa Projek Jiwa Murni dikenali sebagai ‘Askar Masuk Kampung’ yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Ia adalah sebahagian daripada tugasan ATM dalam menyumbang kepada bantuan kemanusiaan dan bencana sambil tidak melupakan bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Selain daripada PBR tentera juga diberi tugas untuk membina jalan raya, jambatan dan bekalan air serta memberikan perkhidmatan kesihatan termasuk khidmat pergigian di kawasan luar bandar di bawah projek tersebut, jelasnya.

Antara projek-projek di negeri ini yang dilaksanakan di bawah Projek Jiwa Murni ialah menaik taraf jalan pembalakan dari Long Lopeng ke Ba’Kelalan dan Jalan Belaga-Menjawah.

Menerusi ucapannya semasa merasmikan majlis itu, Zahid memberitahu bahawa sebanyak 234,500 veteran ATM di negara ini yang tidak berpencen akan menerima bayaran sekali gus sebanyak RM1,000 menerusi Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (STB1M).

Kata Zahid lagi, STB1M akan dibayar mulai 1 Januari 2013 melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM234.5 juta kepada veteran ATM yang terdiri daripada pegawai dan pangkat-pangkat lain.

“Kos ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Penerima atau veteran ini adalah mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun yang bersara awal dan tidak berpencen, yang telah dibersarakan atau menamatkan perkhidmatan secara terhormat tanpa mengira tarikh mula berkhidmat, sementara tarikh tamat tempoh perkhidmatan adalah pada atau sebelum 31 Disember 2012,” tambah beliau.