Pusat sedia kemudahan tambahan hadapi banjir di Sarawak: Jabu

0

SIAP SEDIA: Jabu (kiri) dan Thajudeen (kanan) melihat laporan mesyuarat JPBBN, semalam.

KUCHING: Sepuluh buah bot serta kemudahan pengangkutan air lain seperti enjin sangkut dan treler untuk membawa bot akan dibekalkan kepada negeri ini bagi menghadapi kemungkinan banjir ekoran musim tengkujuh pada masa ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, bekalan daripada kerajaan persekutuan itu adalah sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada.

“Bot termasuk enjin sangkut dan treler yang kita mohon dari Kuala Lumpur akan dihantar segera.

“Kemudahan ini akan kita hantar ke kawasan-kawasan yang memerlukan nanti,” katanya di sini, semalam.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Sarawak (JPBBN) sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir.

Hadir sama, Setiausaha Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Jabu yang juga Pengerusi JPBBN menambah, bekalan bot tersebut juga berbeza dari segi kuasa kuda di mana penggunaannya bergantung kepada keadaan arus di sesuatu kawasan.

Justeru, beliau berkata akan mengadakan sesi kursus Komuniti Tindakan Kecemasan bagi melatih pengendali bot dan enjin sangkut.

“ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen juga telah bersetuju untuk membantu dengan mengagihkan geran MRP (Projek Kecil Luar Bandar) mereka kepada penduduk di kawasan masing-masing.

“Dengan bantuan sampingan seperti ini, mereka akan dapat bertindak pantas, misalnya bantuan duit tersebut dapat digunakan untuk membeli petrol dan sebagainya,” jelasnya.

Dari segi persiapan, Jabu berkata, JPBBN kini memiliki kekuatan anggota seramai 2,934 orang.

Manakala dari segi kemudahan, katanya, merangkumi lori (232 buah), kenderaan pacuan empat roda (55), bot penyelamat (371), jet ski (6) dan helikopter (3).

Persiapan Pusat Pemindahan dan Pangkalan Hadapan juga telah dikemas kini di seluruh negeri, katanya, dengan sejumlah 669 pusat pemindahan telah disediakan yang berupaya menampung seramai 217, 946 mangsa.

Manakala, 85 Pangkalan Hadapan telah dikenal pasti bagi menempatkan stok bantuan makanan sekiranya kawasan tersebut terputus akibat bencana banjir, katanya.