Ribut gempar penduduk Miri

1

TERUK: Bangunan Institut Memandu Miri City Sdn Bhd yang rosak teruk dilanda ribut kencang.

Beberapa kawasan terjejas; pokok tumbang, atap rumah, bangunan berterbangan

MIRI: Penduduk di bebe-rapa kawasan di bandar raya ini gempar selepas dilanda angin kencang yang luar biasa dan hujan lebat, sehingga ada yang menyifatkannya sebagai ‘puting beliung.’

Ribut yang berlaku sekitar jam 1.30 petang semalam te-lah menumbangkan berpuluh-puluh batang pokok di sekitar kawasan Krokop, Pusat Komersil Boulevard, Pujut Corner dan Pujut Tanjung Batu, sekali gus mengakibatkan kesesakan jalan raya di Jalan Miri-Pujut, Jalan Bulan Sabit, Jalan Krokop dan beberapa batang jalan yang lain.

Selain itu, beberapa tiang elektrik turut patah dan tumbang serta menyebabkan kawasan sekitarnya terputus bekalan elektrik.

Kejadian yang berlaku dalam masa kurang daripada 20 mi-nit itu turut menyebabkan Institut Memandu Bandaraya Miri Sdn Bhd yang terletak di Pusat Komersil Boulevard di sini mengalami kerosakan teruk dengan seluruh bahagian bumbung bangunannya di-terbangkan angin kencang.

Manakala, peralatan dalam pejabat seperti komputer dan barangan elektrik yang lain rosak akibat ditimpa hujan lebat.

Turut terjejas teruk ialah salah sebuah blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Miri yang menempatkan dewan sekolahnya dan ‘Kedai Bulan’ di Pujut Corner di sini.

Kawasan Pujut Corner yang paling banyak mengalami pokok-pokok tumbang akibat kejadian itu tidak ubah seperti dilanda ‘garuda,’ hingga ada kediaman tidak kelihatan akibat dahan-dahan pokok yang patah.

Sementara itu, dianggarkan lebih 10 buah kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta di kawasan terbabit turut rosak selepas dihem-pap pokok tumbang.

Dalam pada itu, menurut Penguasa Bomba Zon Miri, Superintenden Unjar Lum, sehingga jam 4 petang semalam Balai Bomba Lopeng ada menerima enam laporan kes pokok tumbang kebanyakannya berlaku di kawasan Boulevard, Krokop dan Permyjaya.

Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota bomba yang terbahagi kepada beberapa kumpulan telah bergerak ke enam lokasi kejadian di sekitar Krokop dan Boulevard.

“Meskipun menerima banyak laporan kes pokok tumbang, namun kita hanya ber-gerak mengikut keperluan seperti pokok tumbang yang menghempap rumah atau jalan raya sehingga menghalang lalu lintas yang memerlukan bantuan bomba untuk me-motong dahan pokok ber-kenaan,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, pihaknya ada menerima 10 laporan kes pokok tumbang dan atap rumah terbang termasuk sebuah rumah di Krokop 8 yang mana bumbung rumahnya terbang hingga menghempap rumah jiran sebelah.

Menurut seorang suri rumah di Pujut Tanjung Batu, Isah Talip, 54, beliau tidak pernah melihat kejadian ribut yang menakutkan seperti itu.

“Keadaan angin berpusar-pusar dengan daun-daun kering, dahan yang patah dan sampah sarap berterbangan semuanya, hingga ada yang terjatuh di atas jalan dan rumah-rumah. Keadaannya memang sungguh menakutkan,” jelas beliau.

Kediaman beliau antara rumah di Kampung Pujut Tanjung Batu yang terputus be-kalan elektrik bermula dari waktu kejadian berlaku.

DITIMPA: Beberapa buah kereta yang ditimpa pokok dan masih belum dapat dikeluarkan oleh pemandunya.

TERCABUT: Sebatang pokok besar yang tercabut dan menimbulkan kesukaran di Pasar Pujut Corner.