Ahli SPDP diharap perkukuhkan parti

1

MELUAN: Kontroversi yang berterusan melanda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sejak dahulu lagi, bukannya faktor yang harus melemahkan semangat kepimpinan dan ahli-ahlinya.

Pengerusi SPDP Bahagian Meluan, Jerry Clement berkata ahli-ahli SPDP Meluan amnya menanggap semua kejadian berlaku itu sebagai hikmah bersifat sementara.

Malah, katanya, perkara itu memberi suntikan semangat kepada ahli-ahli SPDP di kawasan terbabit meneruskan perjuangan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Mulai sekarang, fokus kita akan membina kekuatan SPDP dan mengembalikan kegemilangan, perpaduan di kalangan ahli dan kepercayaan rakyat kepada kita untuk memimpin dan membangunkan mereka.

“Kita akan terus menjalankan pendaftaran ahli di semua peringkat terutamanya golongan muda dan yang lain ingin menyertai perjuangan kita.

“Selain itu, kita akan mengambil pendekatan, mencari dan mengenal pasti serta membantu menyampaikan ilmu pengetahuan melibatkan agensi dan organisasi awam dan swasta berkaitan kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya pada Mesyuarat Exco SPDP Bahagian Meluan, di sini baru-baru ini.

Pada mesyuarat itu, seramai 50 orang ahli exco telah hadir yang melibatkan ahli-ahli dari ketua bahagian, cawangan wanita dan pemuda, cawangan putera dan puteri serta ketua-ketua masyarakat dari kawasan terbabit.

Pada masa sama, Jerry berkata SPDP akan meneruskan usaha untuk menjalankan pendaftaran ahli bagi mengukuhkan parti tersebut.