Sunday, January 23

Wanita sakit mental amuk di kedai makan

0

KUCHING: Seorang wanita yang dipercayai mengalami tekanan mental mengamuk di sebuah kedai makan di Jalan Bayor Bukit di sini pagi semalam.

Wanita tersebut yang berusia 60-an pada mulanya dikatakan bertindak membaling batu sehingga menyebabkan cermin beberapa gerai makanan di dalam kedai tersebut, pecah.

Kemudian, wanita tersebut yang seolah-olah dirasuk bertindak memasuki kedai itu dan memecahkan sebahagian daripada pinggan mangkuk dari setiap gerai yang terdapat di situ.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tidak berani menghalang wanita itu sehingga ketibaan unit kenderaan peronda polis (MPV) beberapa minit selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Wanita tersebut kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang penyelia di sebuah tapak pembinaan semalam tampil membuat laporan polis selepas mendapati sebuah kontena yang diletakkan di tapak pembinaan tersebut dipecah masuk awal pagi semalam.

Menurut penyelia terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Tay, kejadian tersebut disedarinya sejurus tiba di tapak pembinaan di Jalan Landeh itu sekitar jam 6.30 pagi semalam.

Selepas memeriksa, dia mendapati sejumlah besi serta jubin bernilai sekitar RM8,000 telah hilang dari dalam kontena tersebut.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.