Pelbagai program sukan lahirkan atlet berkualiti

0

DEBAK: Kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewujudkan pelbagai program sukan bagi melahirkan pelajar yang cenderung dan minat dalam bidang sukan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam kemampuan melahirkan ramai bakat baharu dalam bidang sukan memberi saingan kepada atlet-atlet yang sedia ada untuk membangunkan sukan agar kita tidak ketandusan atlet berwibawa.

Di samping itu, katanya, bidang sukan juga dapat menjamin kecergasan diri, kecerdasan minda dan kesihatan setiap warga yang mengamalkan aktiviti bersukan.

“Bagi pelajar di sekolah, aktiviti sukan yang disertai bukan sahaja sekadar penyertaan sebagai aktiviti kokurikulum, malah seharusnya dijadikan satu landasan untuk mencungkil bakat dan mendalami bidang yang diceburi agar dapat dijadikan minat dan mata pencarian sebagai kerjaya.

“Dalam pada itu, usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara akan dapat dicapai menerusi bidang sukan,” katanya pada Majlis Penangguhan Rasmi Kejohanan Olahraga Antara Sekolah-Sekolah Jemputan Zon Debak, di SK St Christoper di sini kelmarin.

Razi berkata pelbagai dasar juga turut digubal dalam usaha membentuk minat murid-murid menyertai sukan seperti mewujudkan program Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang memberi penekanan setiap murid wajib menyertai bidang sukan.

Langkah ini, katanya, bertujuan bagi menerapkan nilai sukan di sekolah sekaligus mengembalikan kecemerlangan sukan negara dan melahirkan lebih ramai bakat atlet sukan di negara ini.

“Dengan mengabaikan sukan kita tidak mahu generasi muda kita hanya cemerlang dari aspek intelek dan akademik semata-mata, tetapi mengabaikan aspek lain seperti rohani, emosi dan jasmani,” katanya.

Hadir sama Guru Besar SK St Christoper Eddy Braoh, Pengerusi ALPS Anthony Jiram Ud, Yang Dipertua PIBG SK St Christoper Bana Entawan serta barisan exco dan AJK kejohanan.

Temasya sukan itu melibatkan sebanyak empat buah sekolah jemputan dalam Zon Debak iaitu SK St Christopher, SK Dit, SK Suri dan SK Muton bersaing merebut kejuaraan.

Kejohanan itu menyaksikan tuan rumah, SK St Christopher muncul juara keseluruhan.

Manakala SK Dit naib juara, di tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh SK Suri dan SK Muton.

Anugerah bagi Olahragawan dan Olahragawati turut diumumkan di mana peserta dari SK St Christopher, Renggia memenangi Olahragawan. Manakala Shareena Bujang dari SK Suri serta Norasfaliza dari SK Dit diumumkan sebagai Olahragawati.