Industri minyak sawit mahu k’jaan timbang laksana insurans

2

KUCHING: Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak, terdiri daripada 80 pemilik ladang, telah meminta kerajaan menimbang semula secara serius pelaksanaan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing, bermula 1 Januari tahun depan.

Ia berkata pelaksanaan itu akan hanya membebankan industri minyak sawit ‘yang masih mentah’ di Sarawak, sekali gus menjadikannya kurang berdaya saing.

“Lagipun, sebarang pelaksanaan terma dan syarat tambahan untuk permohonan permit kerja akan memperlahankan masa pemprosesan dan dengan kekurangan buruh di negeri ini, ia akan menjadikan keadaan lebih teruk,” kata persatuan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariatnya di sini semalam.

Melihatkan kepada hargaharga minyak sawit mentah yang terus turun, kerajaan seharusnya campur tangan untuk membantu industri, katanya.

Ahli syarikat persatuan turut dimandatkan untuk memenuhi gaji bulanan minimum RM800 untuk pekerja sektor kelapa sawit, mulai 1 Januari tahun depan, katanya.

“Harga pasaran untuk MSM telah merosot dengan begitu drastik sejak beberapa bulan dan syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit mengalami kerugian kerana harga yang rendah.

“Penurunan harga telah menjejaskan, terutamanya syarikat-syarikat baharu yang telah melabur secara besarbesaran dalam penanaman kelapa sawit,” kata persatuan itu sambil menambah yang kedua-dua pemilik ladang dan pekebun kecil akan turut terkena tempias oleh pengenalan skim insurans berkenaan.  — Bernama