Thursday, May 23

Sarawak buru ‘mesin gol’

0

TAHNIAH: Abu Bakar (kanan) bersama pemain-pemain Akademi Bintang yang muncul pemenang ketiga kategori bawah 12 Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Pusingan Pengarah Yayasan Sarawak 2012 di Kuching, semalam.

KUCHING: Empat pemain dari benua Afrika akan menyertai sesi pemilihan bersama skuad Sarawak pada 23 November ini sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Abu Bakar Marzuki berkata sesi pemilihan tersebut diadakan adalah untuk mencari pemain penyerang yang mampu menjadi ‘mesin gol’.

Beliau berkata, pemain yang dikenal pasti itu pernah bermain dalam saingan liga utama di Eropah.

“Pada masa ini, kita memang ketandusan pemain penyerang. Saya berharap sesi pemilihan itu nanti akan membolehkan kita memilih pemain yang dikehendaki untuk menjadi mesin gol,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pada perlawanan akhir bawah 12 tahun dan bawah 16 tahun Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Pusingan Pengarah Yayasan Sarawak 2012 di sini semalam.

Abu Bakar menjelaskan, Sarawak tidak menghadapi masalah di bahagian lain sebaliknya menghadapi kesulitan untuk merobek kubu lawan kerana ketiadaan penyerang berkaliber.

“Sekarang kita hanya memiliki Bobby Gonzales selaku penyerang dan dibantu Joseph Kallang,” katanya.

Menurutnya, pada musim depan Sarawak juga diperkuatkan dengan pertahanan kental dari Sabah iaitu Mafri Balang yang menyertai Kelantan secara pinjaman dalam saingan Piala Malaysia baru-baru ini.

“Kita berharap akan dapat mengumpulkan pemain terbaik sebelum tarikh tutup pendaftaran pada 6 Disember depan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau optimis Sarawak mampu memberi cabaran getir pada saingan Liga Perdana musim depan.

“Kita memang mahu kembali ke Liga Super 2014. Saingan pada musim depan seimbang dan setiap pasukan mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.

Menyentuh mengenai Kelab dan Akademi Yayasan Sarawak, Abu Bakar yang juga Pengarah Yayasan Sarawak menjelaskan setakat ini seramai 80 pemain berbakat berusia lapan hingga 16 tahun menyertai akademi tersebut.

“Akademi ini diwujudkan untuk melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.

“Oleh itu, kita akan menganjurkan lebih kerap kejohanan bolasepak bawah umur bagi membolehkan lebih ramai pemain muda diketengahkan,” tambahnya.

Sementara itu, Kickalob muncul juara bawah 16 tahun Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Pusingan Pengarah Yayasan Sarawak 2012 selepas mengalahkan YS Allstars menerusi penentuan penalti.

YS Honeybees pula mengalahkan Geruda Junior dengan jaringan 2-1.