SMK Kapit No.2 juara Liga Kapit-Naim 2012

0

KAPIT: Liga Bola Sepak Kapit-Naim 2012 yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan pasukan SMK Kapit No.2 dinobatkan juara setelah menewaskan pasukan pilihan, Kapit Eagles dengan jaringan 4-1 pada perlawanan akhir.

Sebelum melangkah ke perlawanan akhir, kedua-dua pasukan berhempas-pulas mengalahkan lawan masing-masing pada separuh akhir iaitu SMK Kapit No.2 menang ke atas PDRM dengan jaringan 3-2. Manakala Kapit Eagles menang ke atas Pillars Hydrant dengan 4-2.

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Pillars Hydrant setelah menewakan PDRM dengan jaringan besar 6-1.

Pada awal babak pertama, SMK Kapit No.2 mendahului pada minit ketujuh menerusi jaringan penyerang lincah, Jeffery Minggat. Mereka terus mengasak lawan yang lebih berpengalaman (Kapit Eagles). Kapit Eagles telah mewakili Bahagian Kapit pada kejohanan Piala Sarawak di Miri, baru-baru ini.

Ternyata perlawanan tersebut dikuasai oleh pasukan SMK Kapit No.2 yang turut diketuai oleh pelatih pasukan negeri, Mohd Hisyam Afifi (pemain tengah) dan Valentine Surat James (pertahahan).

Sebelum tamat babak pertama sekali lagi SMK Kapit No.2 menambah jaringan menerusi Augustine Mutek pada minit ke-18 dan sekali gus mendahului dengan 2-0.

Namun, pasukan Kapit Eagles tidak berputus asa dan mereka berjaya menjaringkan gol pada minit ke-42 hasil jaringan penyerang sensasi, Ross Aaron Paul.

Pada separuh masa kedua, hujan lebat mulai turun sehingga merencatkan permainan kedua-dua pasukan, namun lebih memihak kepada pasukan SMK Kapit No.2 apabila mereka berjaya membolos gol ketiga pada minit ke-63 menerusi penyerang, Jeffery Mingat dan seterusnya gol keeempat dijaringkan oleh Jeffery Sandum pada minit-minit akhir.

Perlawanan berkesudahan dengan SMK Kapit No.2 menang selesa 4-1 sehingga tiupan wisel penamat dibunyikan.

Liga tersebut berlangsung selama lima bulan setengah yang bermula sejak awal Jun lalu. Perasmian Liga Kapit-Naim 2012 disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Dengan kemenangan tersebut, juara membawa balik sebuah trofi, pingat dan wang tunai sejumlah RM5,000, naib juara merangkul sebuah trofi, pingat dan wang tunai RM3,000 manakala tempat ketiga menerima sebuah trofi, pingat dan wang tunai RM2,000.

Mohd Hisyam Afifi dari pasukan SMK Kapit No.2 diumumkan sebagai pemain terbaik.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kapit, Shamrawi Suhaini.