Tiada aedes tiada denggi

0

GANYANG: Dr Muhamad Rais (tiga kanan) dan Khalid (lima kanan) bersama komuniti di Sibu melakukan gimik membunuh nyamuk aedes semalam.

Pastikan di dalam, di luar rumah bebas daripada pembiakan nyamuk aedes

SIBU: Penduduk di sini diingat agar memastikan kediaman mereka baik di dalam mahupun di luar kawasan rumah bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Muhamad Rais Abdullah terdapat tujuh kes demam denggi dilaporkan di Sibu minggu lalu (21 hingga 27 Oktober).

“Ini adalah peningkatan amat ketara berbanding bulan- bulan sebelumnya.

Justeru, penduduk di sini dinasihati agar jangan terlalu bergantung kepada pihak majlis perbandaran mahupun Jabatan Kesihatan dalam menjaga luar kawasan kediaman mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Gotong-royong Jom Ganyang Aedes, di sini semalam.

Majlis berlangsung di Pintu Gerbang Sibu itu dijalankan secara segera ekoran dua lokasi iaitu Jalan Bukit Assek dan Jalan Merlin telah diisytiharkan sebagai kawasan nyamuk aedes.

Sejak dua minggu lalu, terdapat dua kes dicatatkan dalam lingkungan 200 meter di kawasan penularan wabak denggi iaitu Jalan Merlin.

“Sebenarnya, walaupun sudah terdapat satu kes pun sudah dikira zon menular.

Ada pesakit hanya membuat pemeriksaan kesihatan selepas beberapa minggu dijangkiti virus denggi kerana menyangka mereka hanya demam biasa.

“Harus diingat, ada juga pesakit yang tidak menunjukkan sebarang simptom demam denggi apabila dijangkiti nyamuk aedes,” kata Dr Muhamad Rais.

Untuk tahun ini, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan sehingga hari ini di bahagian ini sebanyak 70 kes dengan bandar Sibu mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 50 kes, Selangau (lima) dan Kanowit (15).

Majlis yang dikelola oleh Jawatankuasa Wabak Denggi Peringkat Daerah Sibu itu turut dihadiri Pemangku Pegawai Daerah Khalid Andong dan ketua-ketua kaum dan penghulu kawasan Sibu.

Menyentuh mengenai usaha membasmi nyamuk aedes, Dr Muhamad Rais mendakwa ada kalangan penduduk enggan membenarkan pegawai penyembur asap nyamuk masuk ke rumah mereka.

“Oleh itu, kami membekal bersama-sama peserta gotongroyong penyembur aerosol supaya penghuni di kawasan terlibat dapat menyembur dalam rumah mereka,” katanya.

Selain itu, dalam lawatannya ke tempat-tempat yang tidak dikategorikan sebagai zon penularan demam denggi seperti di Jalan Sukun dan beberapa lagi jalan di bandar ini terdapat peningkatan bilangan nyamuk aedes yang berterbangan di situ.

Pada masa sama, beliau turut menasihati penduduk memandang serius isu pembiakan nyamuk terutama ketika menghadapi musim tengkujuh.

“Banjir mungkin akan membawa keluar telur-telur nyamuk ke tempat lain, tetapi air yang bertakung selepas banjir atau hujan harus juga diperiksa,” katanya.