Thursday, October 21

NAZA hadiahkan Chevrolet Colorado kepada bapa Pandelela

0

TUAH BADAN: Maruan (dua kiri) mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat gangsa dalam acara terjun sukan Olimpik London, Pandelela pada majlis penyerahan kenderaan pacuan empat roda Chevrolet Colorado kepada keluarga atlet itu di Bangunan Sultan Iskandar di Kuching, semalam. Turut sama bapanya Pamg Joheng (kanan) dan ibunya, Hartini Lamim. Majlis disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan. — Gambar Bernama

KUCHING: NAZA Quest Sdn Bhd (NAZA) semalam menyerahkan kereta pacuan empat roda (4WD) jenama Chevrolet Colorado kepada Pamg Joheng, bapa kepada ratu terjun negara Pandelela Rinong.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Bahagian Kenderaan Empat Roda Kumpulan NAZA Datuk Maruan Said dengan disaksikan Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom yang mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Mawan yang juga Menteri Kanan Negeri berkata usaha Kumpulan NAZA harus dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat lain dalam membantu ke-rajaan memberi penghargaan kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia dalam apa jua bentuk insentif.

“Tindakan NAZA ini harus dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat lain dan saya dimaklumkan NAZA akan memperluaskan operasinya di Sarawak.

“Apa jua usaha dikenal pasti, begitu juga dengan pencapaian dilakar oleh atlet kita ketika ini dan pada masa akan datang NAZA berikrar untuk terus menjalinkan kerjasama pintar ini.

“Saya berharap pemberian ini dengan jenama yang ditawarkan kepada Encik Pamg (bapa Pandelela Rinong) satu penghargaan kepadanya ke-rana berjaya membesarkan dan membimbing anaknya sehingga berjaya mencipta nama di peringkat dunia, dari awal latihannya,” ujarnya.

Sementara itu Maruan berkata pemberian kereta pacuan empat roda itu kepada Pamg adalah ‘hadiah’ atas sumba-ngan anaknya Pandelela kepada negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan dunia, Sukan Olimpik London, baru-baru ini.

“Sekarang kami akan bekerja sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membantu pasukan renang negara semampu mungkin.

“Ini adalah permulaan dan sebahagian daripadanya… seperti saya katakan dalam ucapan aluan tadi, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengembangkan minat anak-anak dalam sukan yang diminati.

“NAZA melihat sumbangan Encik Pamg sangat penting dalam pembangunan sukan negara sebab itu kami memberi hadiah ini sebagai satu pengiktirafan kepada penat lelah dan ketabahan beliau melalui saat-saat sukar sepanjang usaha anaknya, Pandelela,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan NAZA Group Company dalam pembangunan sukan negara, Maruan berkata pihaknya menerusi produk jenama Chevrolet sangat menyokong pembangunan sukan dan kepentingan negara secara keseluruhannya.

Antaranya menyediakan sokongan pengangkutan untuk lumba basikal antarabangsa, Formula One dan Sukan Malaysia (SUKMA) yang diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini, jelasnya.

Selain itu katanya kepelbagaian produk dipasarkan Kumpulan NAZA yang pada masa sama mahu mempromosikan gaya hidup sihat, syarikat begitu komited melibatkan diri dalam pembangunan sukan negara.

“Dalam konteks yang lebih besar kami bekerja sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bukan sekadar membantu keluarga atlet tetapi pasukan atlet negara.

“Namun sebaik sahaja MSN dan NAZA mencapai kata muktamad mengenai skim dan program ini ia akan diumumkan.

“Buat masa ini NAZA sangat gembira kerana menjadi sebahagian daripada sejarah besar ini dan bagi NAZA Quest Sdn Bhd apabila kali pertama memasuki pasaran Sabah dan Sarawak menerusi Calorado, pelabur menunjukkan minat yang sangat memberangsangkan kerana kenderaan ini mempunyai pelbagai peranan dan amat sesuai dengan persekitaran Sabah dan Sarawak,” katanya sambil menambah Sabah dan Sarawak merupakan pasaran penting untuk produk-produknya.