Persatuan Skuasy Kuching menganjur Klinik Skuasy II Sabtu ini

0

KUCHING: Susulan kejayaan klinik pertama, Persatuan Skuasy Kuching (SAK) akan menganjurkan Klinik Skuasy II di Kelab Sukan Redeem, Bau pada 10 November ini.

Ia akan dikendalikan oleh Pengerusi SAK Emmanuel David sambil dibantu oleh beberapa jurulatih.

Menurut Emmanuel, program tersebut diteruskan dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat bagi mewakili Kuching dan Sarawak amnya pada 2013.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru besar dan pengetua-pengetua sekolah rendah dan menengah di daerah Bau yang telah mengizinkan murid dan pelajar mereka mengikuti Klinik Skuasy pada Mac lepas,” katanya.

“Daripada program tersebut, kami telah berjaya mencungkil tujuh pemain baharu yang telah memenangi pingat dan mendapat ranking lima terbaik semasa Sirkit Skuasy 2012 yang diadakan di Kuching, Miri dan Sibu,” katanya.

Menurut Emmanuel, pemain-pemain yang terpilih akan mengikuti latihan di bawah Akademi Skuasy Azlan Iskandar (AISA).

AISA adalah akademi skuasy pertama negara yang dikendalikan oleh juara kebangsaan dari Sarawak Mohd Azlan Iskandar.

Objektif utama AISA adalah mempromosi sukan skuasy dengan lebih agresif kepada masyarakat umum selain menggalakkan penyertaan aktif dalam budaya sihat.

Hubungi Emmanuel di talian 016-8643 581 untuk pertanyaan lanjut.