Elastico dan D’Syco ungguli Liga Futsal KPS Mukah

0

MUKAH: Pasukan Elastico dan D’Syco masing-masingnya muncul juara kategori lelaki dan wanita pada kejohanan Liga Futsal Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Bahagian Mukah, di Dewan KPS Mukah di sini Ahad lalu.

Dengan kejayaan itu, kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai sejumlah RM1,200 berserta piala dan medal.

Naib juara kategori lelaki dimenangi pasukan Midville dari Kampung Medong, Dalat setelah tewas 0-4 kepada pasukan Elastico sekali gus membawa pulang hadiah RM800, piala dan medal.

Manakala pasukan futsal lelaki Real Tugau (Kampung Tellian) dan Red Wave (Politeknik Mukah) diumumkan pemenang tempat ketiga bersama dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500, piala dan medal.

Sementara naib juara bagi kategori wanita pula ialah One Team Buddyz membawa pulang RM800, piala dan medal dan ketiga bersama ialah Sokanjaya dan Sala United menerima RM500, piala dan medal.

Kejohanan itu dianjurkan bersama KPS Bahagian Mukah dan Akademi Futsal Real Tugau Mukah. Hadir pada perlawanan akhir itu ialah wakil Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili dan Pegawai KPS Bahagian Mukah, Timoty Dominic Atong.

Pasukan-pasukan lain turut serta ialah Silence Mode, Gang 6A, Nenesis, RJ United, Jourdiana, Altar Boys, Arabica, Lucky Strike, AJ United, Rabiosa, Wen Onn Goldsmith, Doremi, The Planters, Gang 6B, Mode, C-Cert, La Masia, Boon Seng, Twister, Red Black FC, Top Up, Anapol, Twismo dan Azka FT.