Hafiz melangkah selesa ke pusingan kedua hari ini

0

MASIH UNGGUL: Pemain kebangsaan Mohd Hafiz Hashim mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan AkbarPanji 10-21, 21-19, 21-8 semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Biarpun masih dilanda kecederaan, pemain kebangsaan Mohd Hafiz Hashim tidak menghampakan peminat-peminat tempatan setelah melakar kemenangan pertama pada Kejohanan Antarabangsa Malaysia Maybank 2012 di UNIMAS, semalam.

Namun, bekas juara All- England itu dipaksa bekerja keras hampir sejam oleh pemain Indonesia Akbar Panji sebelum melangkah ke pusingan kedua untuk menentang Abhimanyu Singh hari ini.

Pada set pertama, pilihan pertama kejohanan itu seperti hilang tumpuan dan mudah ditundukkan 10-21 oleh lawannya.

Tersentak dengan kekalahan set pertama, Hafiz memperbaiki corak permainannya dan menang 21-19 pada set kedua bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Keletihan yang dialami oleh Akbar pada set ketiga dihidu dengan pantas oleh Hafiz dan beliau tidak memberi peluang kepada pemain muda itu untuk membenamnya 21-8.

“Saya akui tidak fokus pada set pertama kerana tidak bermain selama dua bulan.

Tambahan pula, kecederaan yang saya alami masih belum pulih sepenuhnya,” katanya semalam.

“Apapun, saya tetap gembira kerana berjaya mencatat kemenangan pada hari ini (semalam) dan saya akan memperbaiki corak permainan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.”

Juara perseorangan remaja lelaki dunia 2011, Zulfadli Zulkifi turut melangkah ke pusingan kedua setelah mengenepikan cabaran Christopher Flores dari Filipina dengan 21-9, 21-15.

Beliau bakal bertemu dengan Tuan Duc Do dari Vietnam yang menundukkan peserta Taiwan Wei Hsaing Lan 12-21, 21-15, 21-18.

Anak kepada Datuk Misbun Sidek, Misbun Ramdan Mohmed Misbun juga cemerlang dengan menumpaskan wakil dari Indonesia Senatria Agus Setia Putra 21-14, 21-14 untuk bertemu dengan rakan sepasukan Giap Chin Goh.

Pemain veteran Wong Choon Hann pula diberi laluan mudah ke pusingan kedua setelah lawannya Heri Setiawan dari Bahrain menarik diri.

Rentak cemerlang juga dipersembahkan oleh pilihan kedua kejohanan Mohamad Arif Abdul Latif.

Beliau hanya mengambil masa 18 minit untuk membenam seorang lagi pencabar dari Vietnam Quang Tuan Bui dengan 21-9, 21-9.

Lawannya hari ini ialah Abraham Yoga Arya Wijaya Kusuma juga dari Indonesia.

Peserta lain yang mara ialah Yee Han Chong, Beng Hong Kuan, Wooi Yik Soh, Kwong Beng Chan, Kian Meng Tan, Giap Chin Goh, Wei Sheng Loh, Yu Fu Lim, Teck Han Tan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Joo Ven Soong.

Dalam saingan perseorangan wanita, Sannatasah Saniru tidak mengahdapi sebarang masalah untuk menewaskan Linda Agnes dari Indonesia dengan 21-5, 21-9.

Turut menang ialah Sonia Su Ya Cheah yang menumpaskan Purwaningtyas Elyzabeth dari Indonesia dengan 24-26, 21-15, 21-17.

Li Lian Yang, Ying Ying Lee, Chiew Sien Lim dan Zii Yii Lee juga melangkah ke pusingan seterusnya setelah menundukkan lawan masing- masing.