MPP rugi RM70,000 akibat vandalisme

0

KUCHING: Majlis Perban-daran Padawan (MPP) meng-alami kerugian dianggarkan sekitar RM70,000 setiap tahun disebabkan kegiatan vandalisme terhadap kemudahan-kemudahan terdapat di taman-taman rekreasi di bawah pentadbiran pihak ber-kuasa tempatan (PBT) itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Landskap MPP Edward Kurik berkata disebabkan perbuatan vandalisme itu juga pihaknya sering dipersalahkan dan dikatakan tidak mengutamakan usaha mencantikkan landskap serta taman rekreasi di kawasan seliaannya.

“Hakikatnya setiap tahun purata kerugian dialami MPP hanya melibatkan landskap termasuk 34 taman rekreasi ialah sekitar RM70,000.

“Ini disebabkan perbuatan vandalisme ke atas kemudahan-kemudahan disediakan seperti alat permainan kanak-kanak khususnya buaian, bangku dan tidak kurang juga yang dicuri.

“Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini… RM70,000 besar nilainya dan ia boleh digunakan untuk aspek pembangunan lain,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya disebabkan itu MPP menganggarkan kos memperbaiki, menambah baik serta menaik taraf semua taman rekreasi dan landskapnya kira-kira RM100,000.

Beliau berkata untuk mendapatkan peruntukan tersebut pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Landskap Negara dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat untuk dipertimbangkan.

Sementara itu katanya tiga kawasan akan diberikan keutamaan pembangunan landskapnya pada tahun depan iaitu kawasan lapang bulatan Batu 3, Jalan Penrissen, Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) dan kawasan sekitar pejabat MPP di Kota Padawan.

Beliau berkata tiga kawasan itu dipilih kerana ia merupakan kawasan tumpuan umum serta mercu tanda di kawasan MPP.

“Kertas kerja untuk menaik taraf landskap di tiga kawasan ini telah disiapkan dan ia akan dilaksanakan sebaik mendapat peruntukan.

“Ini tidak bermakna landskap di kawasan lain tidak akan dibangunkan, ia akan dibangunkan jika ada peruntukan tambahan,” jelasnya.