Monday, July 13

Perpaduan tunjang wawasan

0

TAHNIAH: Taib menyampaikan Anugerah Tokoh Cemerlang Bukan Beragama Islam kepada Liew Jiu Ming pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434H Peringkat Negeri Sarawak di Mukah semalam. Turut kelihatan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Putit Matzen (kiri).

Konsep wasatiyyah selaras usaha perkukuh perpaduan ke arah kemakmuran negara

MUKAH: Amalan kesederhanaan mampu memper-kukuhkan perpaduan kaum yang merupakan asas untuk merealisasikan wawasan negara, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, konsep wasatiyyah yang diterapkan me-nerusi sambutan Maal Hijrah tahun ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk me-wujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Konsep wasatiyyah ini adalah selaras, bahkan sebenarnya berdasarkan wawa-san kepimpinan negara yang berazam untuk mewujudkan keseimbangan dalam membina perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Justeru pendekatan wasatiyyah, amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa mengira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk membina modal insan demi mencapai kemajuan dan kemakmuran  negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434H Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Mesra Mukah, semalam.

Taib berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini, ‘Wasatiyyah Tonggak Kesa-tuan Ummah’ mencerminkan semangat hijrah Rasulullah SAW dalam melahirkan satu ummah yang berteraskan     nilai-nilai murni, berpaksikan keadilan sosial, prinsip ke-sefahaman dan penerimaan serta meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.

“Peristiwa hijrah Rasulul-lah SAW dari Mekah ke Ma-dinah adalah satu gerakan strategik dan terancang melalui penjanaan daya intelek dan kreativiti yang tinggi, dilatari oleh tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Sehubungan itu, kebijaksaan inilah yang amat diharapkan akan terus wujud dalam rakyat Malaysia yang akan me-nyuburkan keharmonian hidup dalam melonjakkan prestasi negara Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Men-teri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, sambut-an Maal Hijrah pada tahun ini amat bermakna kepada umat Islam yang melambangkan iltizam dan perpaduan yang amat kukuh untuk menerus-kan syiar Islam di samping memperkukuh dan mempertingkatkan segala usaha untuk memajukan ummah.

“Dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia yang lebih memfokuskan hala tuju umat Islam di negara ini, satu konsep yang bersifat komprehensif dan bersepadu perlu dirintis selaras dengan tuntutan agama Islam bagi menangani pelbagai isu dan masalah semasa yang berlaku.

“Justeru, konsep wasatiyyah yang bermaksud sederhana, pertengahan dan seimbang perlu dihayati dan diamalkan oleh seluruh umat Islam.

“Wasatiyyah adalah tonggak kepada kesatuan ummah progresif yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah SWT dan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat tidak mengira bangsa, agama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Sambutan Maal Hijrah semalam turut menyaksikan beberapa orang penerima anugerah cemerlang dalam beberapa kategori.

Anugerah Keluarga Cemerlang dimenangi pasangan Bolhan dan Aminah, Liew Jiu Ming, 58, menerima Anugerah Tokoh Cemerlang Bukan Beragama Islam, Anugerah Pelajar Cemerlang STPM (Quziana Zulaikha Mahmor) dan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM (Nor Hidayah Abdul Rahman).

Selain itu, penerima Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Terbaik Sarawak ialah Masjid Darul Ehsan Piasau Jaya, Miri manakala Surau Syurfatul Jannah Kampung Pebahanan, Limbang meraih Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau Terbaik.