Sunday, July 5

Warga tua merempat rupanya bekas guru besar

0

SIBU: Seorang lelaki warga tua yang ditemui merempat di kaki lima Pasar Sentral tengah malam kelmarin rupa-rupanya seorang bekas guru besar.

Kehadiran pesara kerajaan yang berumur 70 tersebut disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang terdengar bunyi orang meraung kesakitan.

Apabila didekati, pengawal keselamatan itu mendapati warga emas tersebut seolah-olah sukar bernafas, manakala badannya menggeletar.

Ditanya asalnya, warga tua itu memberitahu dia orang Kota Samarahan dan mendakwa dia telah dihalau oleh keluarganya dan tinggal di merata-rata tempat sejak seminggu lalu.

Warga tua itu juga memberitahu, dia pernah menjadi guru besar dan mempunyai seorang isteri berasal dari Matu Daro.

Namun, keadaan warga tua itu semakin tenat sehingga memaksa pengawal keselamatan itu menghubungi nombor kecemasan.

Ambulans dan kakitangan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tiba di situ tidak lama kemudian dan membawanya ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Warga tua itu turut membawa sebuah beg pakaian yang mengandungi dokumen-dokumen penting seperti buku akaun bank.

Dia dikatakan tidak sedarkan diri sehingga sekarang setelah dimasukkan ke wad hospital.