188 peserta berentap pada Kejohanan Wushu Sarawak

0

POSE ISTIMEWA: Pasukan Wushu Kuching bersama dengan Ling (tengah, belakang) selepas sesi latihan di Dewan Suarah Kuching, semalam. — Gambar Jackson Ma

KUCHING: Kejohanan Wushu Sarawak edisi ke-22 tahun ini berlangsung di Dewan Komuniti Kenyalang Park pada 15 dan 16 Disem­ber depan bakal menyaksikan penyertaan seramai 188 orang kanak-kanak tadika dan pela­jar sekolah menengah dari Kuching, Sibu dan Miri.

Pengerusi Pengelola, Ling Ung Hee berkata banyak kate­gori bakal dipertandingkan kali ini bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu mempersembah kemahiran mereka dalam sukan wushu yang telah mereka pelajari.

“Tahun ini, kita akan mem­beri peluang kepada peserta baharu mempersembah ke­mahiran wushu mereka dan ti­ada pemilihan untuk mewakili sekolah dijalankan.

“Sebelum ini, setiap peserta perlu lulus ujian naik taraf sebelum layak mengambil bahagian dalam kejohanan,” jelas beliau.

Peserta yang mengambil bahagian berusia dalam ling­kungan lima hingga 18 tahun dan mereka akan bersaing dalam kategori individu, ber­pasukan dan ‘duilian’.

Kuching membariskan seramai 150 peserta dari em­pat sekolah tadika, 14 sekolah rendah dan 10 menengah manakala Sibu menghantar 30 dan Miri empat peserta kesemuanya.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah chang­quan, nanquan, taijiquan, taijijian, nangun, gunshu, jianshu dan daoshu.

“Kejohanan ini adalah platform terbaik untuk men­cungkil bakat-bakat baharu bagi mewakili negeri pada Ke­johanan Wushu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Sukan Malaysia (Su­kma),” katanya.

Ling merupakan jurulatih Persekutuan Wushu dan Tar­ian Naga Sarawak (WFS) dan Pusat Kecemerlangan Wushu Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak.

Presiden WFS, Datuk Seri Tiong King Sing akan meras­mikan pembukaan kejohanan dan laman web persatuan pada 14 Disember depan.