6,000 bekas polis zaman darurat belum terima RM3,000

0

KUCHING: Kira-kira 6,000 bekas polis yang berkhidmat pada zaman darurat dari tahun 1962 hingga 1974 masih belum menerima bayaran sekali gus RM3,000.Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan itu mungkin dis­ebabkan garis panduan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak jelas.

Beliau berharap isu tersebut da­pat diselesaikan dalam tempoh dua minggu dari sekarang untuk mem­bolehkan bekas polis di negeri ini menerima bayaran masing-masing.

“Kalau boleh perkara ini disele­saikan dalam tempoh dua minggu.

“Saya berharap KDN dapat se­lesaikan masalah ini dengan segera agar bayaran ini dapat diberikan selewat-lewatnya penghujung ta­hun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sebahagian be­kas polis di negeri ini masih belum menerima bayaran sekali gus RM3,000 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, sekiranya masalah itu gagal disele­saikan dalam tempoh dua minggu, satu pertemuan akan diadakan ber­sama Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Tun Hussein.

“Kita akan duduk berbincang agar penyelesaian masalah ini dapat dicapai,” ujarnya.

Menurutnya lagi, hanya 6,000 be­kas polis di negeri ini sudah meneri­ma bayaran masing-masing.

Mengulas mengenai penubuhan Jabatan Veteran Polis, beliau berka­ta, pada masa ini Yayasan Pengaman Polis sedang membuat kajian.

“Penubuhan ini sedang dalam kajian. Kalau diwujudkan mesti ada undang-undang sendiri. Kita perlu menunggu penubuhan ini,” jelasnya.