Bekas Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan meninggal dunia

0

KUCHING: Bekas Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan Amin Hassan menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 5.15 petang kelmarin di kediamannya di Kampung No.6, di sini.

Alllahyarham yang berusia 70 tahun meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kanser usus.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah menjawat jawatan penting termasuk Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Selain itu, Allahyarham aktif dalam aktiviti persatuan apabila dilantik sebagai juruaudit dalaman Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).

Allahyarham turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Muslimin Kampung Patingan.

Salah seorang kenalan Allahyarham, Rudi Effendi Khalik berkata, perwatakan ceria yang dimiliki Allahyarham menjadikannya individu disenangi masyarakat.

“Bagi saya, ini merupakan kehilangan besar kepada orang yang mengenalinya.

“Ini kerana Allahyarham merupakan seorang individu yang ceria dan sentiasa tersenyum,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi, Allahyarham juga merupakan seorang pemimpin dan penasihat yang banyak memberi tunjuk ajar terutama dalam aspek memimpin.

“Saya kehilangan seorang mentor, penasihat dan pejuang yang akrab.

“Sepanjang mengenalinya, Allahyarham merupakan seorang yang berfikiran positif dan maju ke hadapan,” ujarnya.