Kerajaan galak aktiviti percutian dalam negara

0

KUCHING: Pelancongan Malaysia menyasarkan jualan 3,000 pakej dengan pendapatan berjumlah RM1 juta hasil daripada jualan hujung tahun pakej percutian 1Malaysia (1MYES) di Sarawak.

Dibangunkan hasil usaha dan kerjasama antara Pelancongan Malaysia dan agensi-agensi pelancongan tempatan, pakej 1MYES direka untuk menggalakkan rakyat Malaysia bercuti dalam negara.

Selain menyasarkan pasaran tempatan meliputi rakyat Sarawak seramai 2.7 juta, pakej ini turut dipromosikan ke pasaran Pontianak (Indonesia) dan Brunei menggunakan Sarawak sebagai pintu masuk ke Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit, pakej 1MYES tahun ini mendapat sambutan yang lebih hebat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, jika dilihat statistik tahun 2011, kehadiran pelancong asing ke Malaysia adalah seramai 24.7 juta orang dengan jumlah perbelanjaan RM58.3 bilion dan jumlah perbelanjaan ini disasarkan bertambah kepada RM60 bilion tahun ini.

“Pakej 1MYES adalah untuk menggalakkan aktiviti percutian dan pelancongan di kalangan rakyat tempatan ke destinasi-destinasi domestik yang ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan tempatan.

“Berdasarkan kepada dapatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, didapati rakyat Malaysia berbelanja sejumlah RM43.3 bilion ke luar negara pada tahun 2011.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat kita mampu untuk berbelanja dan atas sebab itulah pakej 1MYES ini dibangunkan bagi menggalakkan lagi aktiviti percutian dan membeli-belah oleh rakyat Malaysia di pasaran domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran pakej pelancongan 1MYES 2012 bertempat di Aras 2, Kuching Sentral di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Pelancongan Malaysia Sarawak Ahmad Johanif Mohd Ali, Pengerusi Kuching Sentral Raymond Sim dan Pengerusi Bus Asia Ghazali Ismail.

Tambah Dr Dawos yang juga merupakan Ahli Parlimen Mambong, kerajaan pada tahun 2010 telah melupuskan cukai import untuk barang berjenama dari luar negara seperti beg tangan wanita dan sebagainya.

Ini bermakna, harga bagi barang berjenama di negara ini turun antara 20 hingga 30 peratus menjadikannya antara yang termurah di Malaysia.

Malah katanya, Malaysia (Kuala Lumpur) telah dinobatkan sebagai destinasi membeli-belah kedua terbaik di peringkat global amnya Asia Pasifik setanding dengan Singapura dan Hong Kong.

“Jumlah perbelanjaan daripada aktiviti membeli-belah telah meningkat daripada 25.7 peratus pada tahun 2010 kepada 31 peratus pada tahun 2012.

“Dengan terhapuskan cukai import ini serta pelancaran pakej pelancongan 1MYES, saya yakin jumlah perbelanjaan ini akan meningkat pada tahun ini,” katanya sambil menambah jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak sehingga September 2012 adalah seramai 2.9 juta di mana 1.9 juta daripadanya adalah pelancong asing manakala selebihnya pelancong domestik.

Pada majlis itu Dr Dawos turut mengajak masyarakat supaya mengambil peluang untuk merebut pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan sepanjang 1MYES mulai 10 November 2012 hingga 1 Januari 2013.

Antara agensi-agensi pelancongan yang terlibat dalam promosi ini ialah Insight Tours S/B, Go Travel Holiday S/B, Borneo Exploration Tour & Travel S/B, TH Travel & Services S/B, Richland Adventure S/B dan Natol Holidays & Tours S/B.