Wabak HFMD di Sarawak sudah dibasmi: Wong

0

KUCHING: Jabatan Kesiha­tan Negeri mengumumkan wabak penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) kini sudah dibasmi.Bercakap pada sidang me­dia di sini semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata, wabak HFMD telah bermula pada minggu ke-10 tahun ini dengan tempoh kemuncak pada 4 hingga 10 Mac.

“Kes-kes ini telah mula menurun di bawah paras wa­bak sejak 9 Ogos dan berada pada paras berjaga-jaga sejak 20 September. Kami dengan ini mengumumkan wabak HFMD sudah dibasmi.

“Bagaimanapun, kita masih lagi menyeru kepada orang ra­mai supaya terus mengamal­kan kebersihan terutamanya mencuci tangan dan menda­patkan rawatan lebih awal jika anak-anak mereka men­unjukkan simptom HFMD. Ini boleh mencegah penyakit berulang,” katanya.

Hadir sama Pengarah Kesi­hatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan dan Ketua Seksyen Penyakit Berjangkit Noorzi­lawati Sahak.

Sementara itu, Wong men­gucapkan penghargaan kepa­da Jabatan Kesihatan Negeri dan semua jabatan serta agensi berkaitan kerana berjaya mengawal wabak itu.

Katanya, mereka telah men­gambil pendekatan pencegahan termasuk memberi notis penu­tupan sementara kepada tadika atau taska yang dilaporkan mempunyai kes HFMD dalam kalangan kanak-kanak.

Wong menambah sehingga 10 November tahun ini se­jumlah 12,896 kes dilaporkan dengan 134 institusi ditutup dan tiada kematian dilaporkan. Namun, kira-kira 10 peratus kes dimasukkan ke wad.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, HFMD adalah pen­yakit endemik dan ia sentiasa ada.

Sehubungan itu, katanya, semua tadika dan taska harus terus mengendalikan pemerik­saan ke atas kanak-kanak dan jika ada kanak-kanak yang disyaki mempunyai simptom, mereka harus memaklumkan kepada ibu bapa agar mem­bawa anak mereka ke klinik atau hospital.

“Ibu bapa juga harus terus memantau anak-anak mereka jika mana-mana gejala berlaku kemudian mesti segera meng­hantar anak-anak mereka ke klinik.

“Kita juga menyeru kepada ibu bapa kanak-kanak yang telah dijangkiti HFMD untuk mengasingkan mereka dari tempat-tempat yang sesak kerana ia mampu membantu memulihkan mereka dengan cepat dan pada masa yang sama tidak merebak kepada orang lain,” kata beliau.