Buruh asing curi buah kelapa sawit dipenjara

0

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan ke atas seorang buruh ladang warga Filipina selepas dia mengaku bersalah mencuri buah kelapa sawit milik majikannya awal bulan ini.

Majistret Suhaila Selag membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, John Saldi, 21, mengaku mencuri buah kelapa sawit seberat empat tan bernilai RM1,500 di Kebun Sawit Kalumpang, Jalan Kunak, pada 1 Nov lepas pada 1 petang.

John Saldi yang ditangkap pada 13 Nov lalu, pada 10.20 pagi, di sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4.5, Jalan Apas, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian, kira-kira jam 7.30 pagi, tertuduh pergi ke kebun majikannya untuk menombak buah kelapa sawit sebelum dia dan dua lagi rakannya yang masih bebas mengangkut buah berkenaan keluar menggunakan lori.

Tertuduh kemudian mengarahkan dua orang rakannya itu menjual buah kelapa sawit berkenaan dan hasil jualan berjumlah RM400 itu kemudian dibahagi-bahagikan sesama mereka.

Siasatan juga mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu selepas mendakwa gajinya lambat dibayar majikannya dan tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

Sementara itu, Suhaila turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan dua sebatan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Mahkamah memerintahkan supaya kedua-dua hukuman penjara berkenaan dijalankan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Joan Lee.— Bernama