Wednesday, November 29

Keberanian dan sikap Kho padam kebakaran substesen SEB dipuji

0

KUCHING: Keberanian dan sikap penuh bertanggungjawab Kho Thong Sheng, 28, memadamkan kebakaran di sebuah substesen milik Sarawak Energy Berhad (SEB) di Lorong 16, Jalan Stampin di sini berjaya mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Menurut Kho, beliau dimaklumkan mengenai insiden itu oleh abangnya yang baharu pulang dari tempat bekerja dan tanpa berlengah, beliau terus mendapatkan alat pemadam api milik keluarganya sebelum bergegas ke tempat kejadian yang hanya terletak di hadapan rumahnya.

Kho yang bekerja sebagai kontraktor berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 6 petang kelmarin dan ketika itu, secara kebetulan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) melalui tempat kejadian.

“Datuk Bandar terus menghubungi SEB dan bomba untuk mendapatkan bantuan tetapi apabila bomba tiba kira-kira 10 minit kemudian, saya sudah dapat memadamkan api.

“Ini diikuti pasukan dari SEB. Mereka terus membuat pemeriksaan dan menukar meter suiz yang terbakar dengan yang baru,” jelasnnya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Deepavali MBKS di sini semalam.

Menurut Kho lagi, insiden kelmarin merupakan kejadian kedua berlaku di substesen berkenaan dengan kes pertama berlaku kira-kira empat tahun lalu dan beliau bersama beberapa ahli keluarganya menggunakan enam alat pemadam api untuk memadamkan api di situ.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKS, Datuk James Chan Khay Syn memberitahu sikap keluarga Kho harus dicontohi oleh orang lain khususnya yang tinggal di kawasan selian MBKS.

“Saya mahu berterima kasih kepada keluarga ini. Jika saudara Kho tidak bertindak pantas saya percaya bekalan elektrik akan terputus di beberapa kawasan di Kuching dan kemusnahan lebih besar berlaku.

“Semangat kejiranan seperti inilah mesti ada pada setiap rakyat negeri ini dan Kuching khususnya. Kita mesti tolong-menolong antara satu sama lain.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pihak majlis atau SEB apabila berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Hadir sama memberi penghargaan kepada keluarga Kho Pengurus Kanan Komunikasi Korporat SEB, Haniza Abdul Hamid.

SEB itu memberikan sebuah alat pemadam kebakaran yang baharu kepada keluarga itu.