Kejadian ‘nyapat’ ruai amat memalukan

1

SIBU: Tuai Rumah (TR) Johnathan Juna menyifatkan apa yang berlaku di rumah panjangnya pada 17 November lepas sebagai sesuatu yang amat memalukan.

Menurut beliau, perbuatan ‘nyapat’ ruai rumah panjang itu dilihat memalukan penghuni rumah panjang serta penduduk yang tinggal di Sungai Aup.

“Saya berasa amat malu dengan apa yang telah berlaku kerana ini merupakan pertama kali kejadian seumpama itu berlaku di Sungai Aup.

“Malah, ada juga penduduk berhampiran menyuarakan rasa kesal mereka dengan apa yang berlaku kerana mereka juga merasa malu dengan kejadian tersebut,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo, semalam.

Dalam kejadian 17 November lepas, segelintir penduduk rumah panjang terbabit telah ‘nyapat’ atau membina dinding pemisah di ruai bagi memisahkan tiga pintu bilik di rumah panjang itu dengan bilik-bilik yang lain.

Penduduk difahamkan bertindak sedemikian bagi menyuarakan bantahan mereka kepada TR Johnathan, selepas segelintir penduduk menolak kepimpinan tuai rumah sedia ada.

TR Johnathan memberitahu, beliau sedia untuk melepaskan jawatan sebagai tuai rumah selepas tempoh pelantikannya sebagai TR berakhir pada Ogos tahun depan.

“Namun jika khidmat saya sebagai tuai rumah masih diperlukan oleh pihak atasan, saya harus memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan,” jelasnya.

Sebelum ini, TR Johnathan pernah menulis surat peletakan jawatan sebagai tuai rumah kepada Pejabat Residen, yang bertarikh 14 Mei 2011, selepas lapan tahun menjadi tuai rumah.

Beliau memberikan faktor umur dan masalah kesihatan sebagai alasan untuk meletakkan jawatan, namun alasan tersebut tidak diterima oleh pihak atasan yang mahu beliau terus menjadi TR.

“Pihak atasan tidak mahu saya meletakkan jawatan kerana saya tidak mempunyai apa-apa kesalahan, selain khidmat saya masih diperlukan,” katanya yang menyerahkan kepada pihak atasan selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada Ogos 2013 nanti.

Ditanya mengenai ‘sapat’ atau dinding yang dibina di ruai rumah panjangnya, TR Johnathan memberitahu dinding pemisah itu masih belum dirobohkan.

Sehubungan itu, beliau telah menfailkan kes di Pejabat Daerah di sini bagi mendapatkan perintah Mahkamah Bumiputera bagi meminta pihak berkenaan merobohkan dinding pemisah tersebut.

Rumah Johnathan di Sungai Aup mempunyai 86 pintu bilik dan 553 orang penduduk. Rumah panjang ini difahamkan telah dibina pada tahun 1908.