Naik pangkat secara ‘time-based’ mungkin diperluas

1

Ketika ini ia hanya dinikmati sektor pendidikan, kesihatan

KLUANG: Kaedah kenaikan pangkat secara timed-based yang kini dinikmati sektor pendidikan dan kesihatan dicadang akan diperluas ke sektor perkhidmatan awam lain. Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan sedang meneliti secara terperinci pelaksanaannya termasuk menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam sebelum perluasan terbabit dilakukan.

“Terdapat kira-kira 1.42 juta penjawat awam di negara ini dengan seramai 430,000 daripadanya adalah guru yang menikmati kaedah time-based.

“Kita (kerajaan) akan mengambil kira keseimbangan hasil dan perbelanjaan negara dan tunggu hasil laporan suruhanjaya yang dipengerusikan Tun Zaki Tun Azmi pada 31 Dis depan sebelum kaedah itu diperluas,” katanya pada sesi soal jawab majlis amanat dan sesi interaksi bersama penjawat awam, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, di sini, semalam.

Semasa berucap pada majlis itu, Ali menasihatkan para penjawat awam supaya bijak menguruskan kewangan mereka terutama penggunaan kad kredit bagi mengelak diisytihar muflis.

Beliau berkata seramai 2,011 orang penjawat awam diisytihar muflis setakat ini dan perkara itu menimbulkan kebimbangan.

Ali dalam pada itu sekali lagi menegaskan kepentingan ketua-ketua agensi dan jabatan untuk turun padang dengan kerap bagi memahami keadaan sebenar persekitaran kerja penjawat awam yang secara langsung dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

“Amalan turun padang bukan sahaja mengeratkan silaturrahim pengurusan atasan dengan pegawai dan anggota penjawat awam dalam jabatan masing-masing, malah memahami kekangan atau masalah yang dihadapi setiap anggota,” katanya.

Terdahulu, beliau yang merupakan anak jati Kluang turut menghadiri majlis makan tengah hari di tempat yang sama bersama pengetua dan guru Sekolah Kebangsaan Lelaki Bandar Kluang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara (STAB).

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau mengambil peluang menyorot kembali kenangan zaman persekolahannya pada tahun 60-an dan 70-an termasuk kisah membeli nasi lemak di kantin sekolah dengan harga lima sen. — Bernama