Promosi khazanah, kawasan pelancongan Miri

0

Banyak destinasi menarik wajar diperkenal untuk diterokai oleh pelancong dalam dan luar negara

MIRI: Selaku bandar raya pelancongan terkemuka di Sarawak, Miri mempunyai beberapa kawasan menarik yang harus diterokai oleh pelancong dari dalam dan luar negara.

Timbalan Residen Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, pelbagai khazanah dan kawasan pelancongan menarik di sini wajar diperkenalkan kepada pelancong luar.

“Miri mempunyai destinasi pelancongan menarik seperti kawasan terumbu karang  untuk aktiviti penyelaman, selain Gua Niah dan sebagainya bagi mereka yang ingin menerokai keindahan Miri,” katanya pada Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Peserta Jelajah Kumpulan Pemilik Harley Asia Tenggara (SEAHOG) semalam.

Menurutnya, pemilihan Miri sebagai salah satu lokasi perhentian untuk program SEAHOG amat bertepatan bagi mempromosikan Miri secara dekat sebagai destanasi pelancongan.

“Kita berharap peserta konvoi SEAHOG akan kembali ke sini dan meluangkan banyak masa untuk melawat kawasan-kawasan yang menarik dan unik di Miri,” katanya.

Seramai 265 peserta SEAHOG yang berada di Brunei Darusslam sejak kelmarin tiba di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Bintulu semalam.

Jamuan Makan Jamuan Tengahari tersebut telah ditaja oleh Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan NAZA, Datuk SM Zulkifli SM Amin dan Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri (MBM), Leonard Law.

Sementara itu, SM Zulkifli berkata peserta Jelajah SEAHOG yang menyertai konvoi selama sembilan hari ke Sarawak terpegun dengan keunikan rakyat Malaysia yang hidup bersatu padu.

“Kebanyakan peserta kita terpegun dengan kepelbagaian masyarakat Malaysia yang hidup dalam suasana majmuk dan bersatu padu dan mereka tidak melihat keadaan itu di negara-negara lain,” kayanya di sini semalam.

SM Zulkifli memberitahu, konvoi berkenaan sekurang-kurangnya mampu memperkenalkan Malaysia di mata dunia selain mempromosi sukan pemotoran di negara ini.

“Secara peribadinya, saya melihat sukan permotoran di Malaysia semakin berkembang dan melebarkan sayap dari segenap negeri dan setiap tahun kita melahirkan hampir 500 penunggang baharu,” jelasnya.

Tambahnya, Malaysia telah melahirkan pelumba muda iaitu Zulfahmi Khairuddin dan menerusi konvoi terbabit, beliau berharap ia dapat membantu mengembangkan minat orang ramai terhadap sukan permotoran di Malaysia.

Beliau menarik perhatian kesemua peserta konvoi terbabit memuji Malaysia khasnya Sarawak kerana rakyatnya sangat ramah dan mesra menyambut kedatangan peserta di semua lokasi perhentian.

“Inilah keunikan yang kita cuba perkenalkan kepada peserta-peserta luar negara dan kita berharap konvoi ini akan diadakan di lokasi sama (Sarawak) pada siri seterusnya,” katanya.

Mengulas mengenai program SEAHOG, beliau memberitahu program berkenaan telah bermula dari Kuching dan peserta dibawa ke beberapa kawasan menarik di Kuching.

“Kita telah bawa mereka menyusuri Sungai Sarawak dengan menggunakan bot, memperkenalkan mereka produk kek Lapis Sarawak dan sebagainya,” jelasnya.

Selain itu, katanya, peserta telah meneruskan perjalanan ke Sibu, Bintulu, Miri dan Brunei Darussalam dan kembali ke Miri semalam sebelum meneruskan jelajah kembali ke Kuching.

“Hari ini (semalam), kita telah selamat tiba di Miri selepas menjelajah Brunei pada hari sebelumnya dan kita akan meneruskan perjalanan ke Bintulu dan destinasi terakhir, Kuching untuk program seterusnya,” ujarnya.

Siri Jelajah SEAHOG kali kedua itu melibatkan peserta dari Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Jerman, Norway, Switzerland, Australia, Thailand, Indonesia, Brunei, Belanda dan Malaysia sebagai tuan rumah.