Tiada cadangan tubuh GIATMARA di Beladin

0

KUCHING: Tiada sebarang cadangan pada masa sekarang untuk menempatkan pusat GIATMARA di Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Beladin dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu bagaimanapun berkata, kementeriannya akan berbincang dengan GIATMARA negeri untuk mempercepatkan penubuhan pusat tersebut di PPD Beladin.

“Buat masa ini GIATMARA belum bercadang untuk menempatkan pusatnya di Beladin,” katanya Sesi Soal Jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 semalam.

Jabu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Razaili Gapor (BN-Beting Maro) berhubung status terkini pelaksanaan PPD Beladin dan rancangan kerajaan untuk membawa kerajaan di PPD Beladin.

Mengulas lanjut mengenai PPD Beladin, beliau menjelaskan, pelaksanaan program pembangunan PPD Beladin masih digiat dijalankan kerajaan dan pihak swasta.

“Sehingga hari ini, pelbagai projek dirancang dan dilaksanakan di PPD ini,” ujarnya.

Malah menurutnya, kerajaan telah meluluskan projek perumahan yang akan dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan pembinaan beberapa unit kedai yang dibangunkan pihak swasta.

“Adalah dijangka bahawa pembangunan ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat tempatan di PPD Beladin,” jelasnya.