Kerajaan luluskan 11 kawasan setinggan jadi kampung sah

1

KUCHING: Kerajaan telah meluluskan sebanyak 11 kawasan setinggan di negeri ini menjadi kampung sah sebagai penempatan semula ‘in-situ’, kata Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais.

Katanya kawasan setinggan terlibat ialah sebuah di Sri Aman, Sibu (tiga), Samarahan (tiga), Betong (dua) dan sebuah di Miri.

Tambah beliau, lapan daripada kawasan tersebut akan diisytiharkan sebagai Rizab (Kampung) Kerajaan di bawah Seksyen 7 (1) Kanun Tanah Negeri manakala dua kawasan lagi akan diberi milik terus di bawah Seksyen 13 Kanun Tanah Negeri.

“Sebagai kampung yang sah, mereka bakal menikmati kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, telefon, jalan raya dan lain-lain.

“Hanya mana-mana rumah yang terkena dengan jalan raya yang dicadangkan perlu berpindah ke lot yang akan diagihkan kepada mereka bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan pada masa akan datang.

“Ini juga merupakan usaha dan pendekatan kerajaan untuk menyelesaikan masalah setinggan di Sarawak selain membina kampung lanjuran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam sambil menambah ia turut memberi manfaat kepada 408 ketua isi rumah.

Naroden yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) berkata, antara kawasan setinggan terlibat ialah Kampung Se-duan Jaya di Batu 8 1/2 Jalan Oya Lama, Sibu yang telah diluluskan untuk penempatan secara ‘in-situ’ pada 10 Julai lalu.

Menurutnya, Kampung Seduan Jaya akan diwartakan sebagai Rizab (Kampung) Kerajaan di bawah Seksyen 7 (1) Kanun Tanah Negeri.

Namun demikian, beliau berkata keputusan sama ada untuk mengeluarkan surat hak milik tanah secara individu akan ditentukan kemudian.

Jelasnya, keputusan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan setinggan sebagai kampung yang sah boleh dibuat sekiranya kawasan tersebut tidak terlibat dengan sebarang rancangan pembangunan kerajaan.

“Dengan pengisytiharan Kampung Seduan Jaya sebagai Rizab (Kampung) Kerajaan, maka ia telah menjadi kampung yang sah.

“Ini bermakna mereka bukan lagi dianggap sebagai setinggan,” katanya.

Mengikut statistik Jabatan Tanah dan Survei, Naroden berkata terdapat 65 unit rumah yang sedia ada di Kam-pung Seduan Jaya.

Katanya pengisytiharan kampung ini akan memberi manfaat kepada 87 ketua isi rumah dengan melibatkan lebih 500 ahli keluarga.